Selasa, 29 March 2016 | 7:15pm

PKBM, TSG bincang isu elaun

Datuk Abu Samah Abd Wahab
Datuk Abu Samah Abd Wahab

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan mengadakan perjumpaan dengan pasukan pro-benua, Terengganu Cycling Team (TSG) bagi menyelesaikan isu elaun pelumba yang tidak dibayar.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab dalam kenyataan hari ini berkata perjumpaan itu akan disertai ahli Exco PKBM, pengurusan TSG serta pelumba TSG di Melaka selepas berakhir perlumbaan Tour of Thailand 2016 (ToT 2016) nanti.

Perlumbaan ToT 2016 dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 6 April ini.

Abu Samah berkata pengurusan tertinggi TSG menyatakan hasrat berjumpa menerusi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TSG, Farhan Abdul Wahab.

"Pendedahan menerusi media tidak sepatutnya berlaku. Saya ada hubungan baik dengan CEO TSG. Sepatutnya pelumba minta pengurusan tertinggi TSG menghubungi PKBM untuk selesaikan masalah ini.

"Dalam hal ini, saya setuju dengan pendirian Farhan yang menegaskan kaedah terbaik adalah menerusi perbincangan. Perkara ini akan berlarutan tanpa jalan penyelesaian sekiranya dakwaan demi dakwaan didedahkan menerusi media," katanya.

Sebelum ini pelumba TSG, Mohd Adiq Hussainie Othman yang mewakili pelumba lain iaitu Harrif Salleh, Zamri Salleh, Anuar Manan dan Saiful Anuar Aziz, mendakwa PKBM tidak mengotakan janji memberi elaun bulanan hasil kejayaan memenangi pingat emas di Sukan SEA Singapura, tahun lepas.

Media tempatan sebelum ini melaporkan PKBM dalam mesyuarat bersama Majlis Sukan Negara (MSN), dimaklumkan skuad negara yang memenangi pingat emas acara lepas beramai-ramai Sukan SEA tidak layak menerima elaun bulanan daripada MSN.

Menurut PKBM, antara alasan yang diberikan MSN adalah kerana pelumba berkenaan tidak berada dalam program latihan sepenuh masa bersama pasukan kebangsaan.

Pada temasya Sukan SEA lalu, skuad berbasikal negara berjaya menyumbang dua pingat emas serta tiga gangsa dalam acara lebuh raya. - BERNAMA

Berita Harian X