Isnin, 4 April 2016 | 1:09am
PELUMBA Malaysia Moto3 Honda, Khairul Idham Pawi (dua dari kanan), meraikan kejayaan bersama pasukannya selepas memenangi perlumbaan Moto3 Grand Prix Argentina di litar Termas de Rio Hondo, di Santiago del Estero, Argentina, sebentar tadi. - Foto AFP

Khairul Idham buat kejutan juarai Moto3 GP Argentina

PELUMBA Moto3 Honda negara, Khairul Idham Pawi (tengah), bersama pemenang kedua, Jorge Navarro (kiri) dari Sepanyol dan pelumba KTM dari Afrika Selatan, Brad Binder berdiri di atas podium perlumbaan Moto3 Grand Prix Argentina di litar Termas de Rio Hondo, di Santiago del Estero, Argentina. - Foto AFP

TERMAS DE RIO HONDO (Argentina): Penunggang Malaysia, Khairul Idham Pawi yang mewakili Honda memenangi kejuaraan pertama sepanjang kerjaya apabila menjuarai Moto3 saingan Grand Prix (GP) Argentina, di sini, sebentar tadi.

Bermula di petak keempat, Khairul Idham, 17, menguasai perlumbaan di atas trek basah dengan kelebihan 26 saat, mengatasi rakan sepasukan Honda, Jorge Navarro dari Sepanyol dan pelumba Afrika Selatan mewakili KTM, Brad Binder.

Ia kemenangan sulung buat pelumba pasukan Honda Asia itu yang mula menyertai perlumbaan kelas ketiga Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini.

Beraksi di litar yang basah di akibat hujan sebelum perlumbaan jelas memberi kelebihan buat Khairul Idham yang bermula pantas memintas pelumba di depannya seawal pusingan pertama dan memimpin perlumbaan sehingga penamat dengan catatan 41 minit 35.452 saat.

Begitupun, nasib jelas tidak memihak seorang lagi pelumba negara, Adam Norrodin apabila terjatuh di penghujung perlumbaan sekali gus menafikan peluangnya untuk mendaki podium.

Ini kali pertama pelumba Malaysia memenangi perlumbaan di Kejuaraan Motosikal Dunia, sekali gus menyaksikan lagu kebangsaan, Negaraku berkumandang dalam perlumbaan berprestij itu.

Kejayaan Khairil Idham mengatasi pencapaian terbaik pernah dilakar pelumba Malaysia sebelum ini iaitu Zulfahmi Khairuddin yang memenangi tempat kedua di GP Malaysia pada 2012.

Seorang lagi penunggang Malaysia, Adam Norrodin dari pasukan Drive M7 SIC Racing Team menduduki tangga ke-11 walaupun terbabit dalam kemalangan di selekoh akhir pusingan.

Khairul Idham yang beraksi buat kali ketiga dalam Moto3, teruja dengan kemenangan tidak dijangka itu.

"Saya gembira dan bersyukur dengan keputusan ini dan teruja dengan kemenangan pertama ini. Saya tidak rasa tertekan. Saya mencuba yang terbaik untuk fokus dan mendahului perlumbaan," katanya.

Pelumba muda ini mencipta pusingan keempat terpantas dalam sesi kelayakan pada Sabtu tetapi turun ke tangga ketujuh dalam grid permulaan selepas menerima penalti kerana menunggang perlahan dalam sesi latihan bebas pada Jumaat.

Kemenangan ini menyaksikan Khairul Idham memungut 25 mata untuk berada di tempat keempat sementara Adam kekal di tangga ke-19 dengan lima mata selepas siri perlumbaan kedua kejohanan.

Litar Amerika di Texas Tengah, Amerika Syarikat akan menjadi siri ketiga dari 8 hingga 10 April ini. - Agensi

Berita Harian X