Jumaat, 22 April 2016 | 11:33am

Prestasi 'yo-yo' Kelantan, Dr Vida mula bersuara

PEMAIN Kelantan, Mohd Farisham Ismail (kiri) mengasak pemain Pahang, Mohd Fauzi Roslan pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur, kelmarin. - Foto Zulkepli Osman
PEMAIN Kelantan, Mohd Farisham Ismail (kiri) mengasak pemain Pahang, Mohd Fauzi Roslan pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur, kelmarin. - Foto Zulkepli Osman

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) perlu memandang serius terhadap prestasi Kelantan yang tidak menentu sebelum keadaan semakin parah sehingga boleh menjejaskan imej penaja pasukan itu.

Penasihat Kehormat KAFA, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali dengan Dr Vida, berkata sebagai penaja utama Kelantan, beliau bimbang dengan prestasi pasukan yang 'terumbang-ambing' dan ia boleh menjadi lebih serius jika tiada sebarang tindakan diambil.

Katanya, pengurusan KAFA sepatutnya mengenalpasti punca kemerosotan pasukan sama ada daripada taktikal, pemain import atau jurulatih itu sendiri.

"Saya sebagai penaja bukan saja kecewa, malah tertekan kerana turut dipersalahkan dengan kemerosotan prestasi Kelantan. Tanpa sebarang tindakan tegas, masalah ini akan berterusan dan boleh memberi kesan buruk kepada saya sendiri.

"Saya bukan hendak mencampuri urusan KAFA, sebaliknya mahukan jalan penyelesaian terhadap masalah ini. Kemerosotan prestasi Kelantan sebenarnya sudah bermula pada awal musim, namun sehingga kini tiada tindakan diambil.

"Kita tidak boleh tunggu pasukan jatuh teruk, baru mahu bertindak. Kita masih ada masa untuk membaiki semula kedudukan Kelantan," katanya ketika dihubungi BH Sukan, semalam.

Dalam perlawanan di Stadium Darul Makmur, malam kelmarin, Pahang meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) 4-3.

Keputusan itu menyaksikan Kelantan jatuh tangga ketujuh dengan kutipan sembilan mata di bawah Kedah selepas mengharungi lapan perlawanan.

Mengulas lanjut, Vida berkata, beliau tidak memahami apa masalah yang dihadapi PQPTRW sehingga mempamerkan prestasi yang tidak menentu sedangkan masalah kewangan yang dihadapi musim lalu sudah diselesaikan.

"Jika musim lalu, kita boleh salahkan faktor kewangan, tetapi kali ini saya sudah bantu untuk 'mencukupkan' dana, sebaliknya masalah sama tetap berlaku.

"Apa yang berlaku ini bukan apa yang saya harapkan untuk musim ini. Saya harap KAFA lakukan sesuatu," katanya.

Berita Harian X