Isnin, 25 April 2016 | 3:40pm

Kelantan mungkin ganti pemain import

KETUA Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa. - Foto Faris Zainuldin
KETUA Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa. - Foto Faris Zainuldin

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dijangka menukar sekurang-kurangnya dua pemain import bagi memperbaiki prestasi tidak konsisten dipamerkan skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) sebelum ini.

Tindakan drastik itu diambil oleh Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa selepas penaja utama skuad Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau Dr Vida, sebelum ini mengancam menarik balik tajaan berikutan prestasi tidak konsisten.

Annuar berkata, walaupun skuad PQPTRW kini menjadi tiga pasukan mempunyai jaringan terbanyak, namun KAFA tidak dapat mengelak daripada melakukan rombakan itu.

Beliau memberi bayangan untuk menukar dua 'awang import' sedia ada bagi membolehkannya di isi dengan seorang penyerang dan pemain pertahanan baharu.

"PQPTRW adalah antara antara tiga pasukan terbanyak menjaringkan gol dengan 17 jaringan...tapi kita mudah dibolosi.

"Mungkin kita perlukan dua import bermain di pertahanan..?? dan satu penyerang mungkin perlu di tukar lagi ?...foreign phobia!!," katanya dalam satu kenyataan terbaharu menerusi akaun Facebook miliknya.

Sebelum ini media melaporkan Vida menegaskan ancamannya menarik diri daripada menaja pasukan PQPTRW itu bukan gimik, sebaliknya serius seandainya pasukan kendalian Devan terus memperagakan aksi 'yo-yo'.

Vida berkata, beliau sudah hilang sabar dengan prestasi yo-yo pasukan PQPTRW yang sehingga ini hanya mampu mencatat tiga kemenangan, tiga kali kalah dan tiga kali seri dalam sembilan perlawanan yang sudah diharungi.

Selain itu, beliau percaya tindakan menarik diri itu tidak melanggar kontrak memandangkan KAFA sendiri sudah melanggar beberapa syarat dalam perjanjian yang dibuat sebelum ini.

Pada perlawanan terakhir malam Sabtu lalu, Kelantan menang mudah 3-0 menundukkan Terengganu di Stadium Sultan Muhammad IV, dan keputusan itu menjadikan skuad PQPTRW naik tangga kelima dengan pungutan 12 mata selepas mengharungi sembilan perlawanan.

Berita Harian X