Selasa, 26 April 2016 | 1:01pm

Vida sedia timbang hasrat tarik diri taja Kelantan

Pengasas Produk Kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali Datuk Seri Vida. - Foto Muhd Asyraf Sawal
Pengasas Produk Kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali Datuk Seri Vida. - Foto Muhd Asyraf Sawal

KOTA BAHRU: Penaja utama pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW), Datuk Seri Dr Hasmiza Othman sedia menimbangkan semula hasratnya menarik diri daripada menaja pasukan itu jika diberi kepercayaan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk mengatasi masalah prestasi skuad kendalian K Devan itu.

Hasmiza atau lebih dikenali dengan Dr Vida berkata, antara masalah utama pasukan itu adalah pemain import yang hambar dan tidak menyumbang walaupun dibayar gaji mahal.

Justeru, jutawan kosmetik itu mahu KAFA mempertimbangkan hasratnya untuk memperbaiki prestasi Kelantan terutamanya pada jentera serangan.

"Sebenarnya saya mahu Kelantan mengutip tiga mata penuh daripada dua baki perlawanan iaitu FELDA United dan Selangor, yang berlangsung pada awal bulan depan. Saya mahu Kelantan berada di tangga ketiga di bawah JDT dan FELDA United.

"Bagaimanapun, jika mereka masih gagal, saya akan pertimbangkan semula (tarik diri) berdasarkan prestasi pemain ketika itu," katanya semalam.

BH Sukan kelmarin melaporkan Dr Vida menegaskan yang tindakannya mahu menarik diri daripada menaja pasukan itu bukan gimik, sebaliknya serius seandainya pasukan kendalian K Devan itu terus memperagakan aksi 'yo-yo'.  

Ini kerana beliau sudah hilang sabar dengan prestasi yo-yo pasukan PQPTRW yang mencatat tiga kali menang, tiga kali kalah dan tiga kali seri dalam sembilan perlawanan yang sudah diharungi.

Buat masa ini, beliau sudah mengenalpasti pemain dari Portugal yang beraksi di divisyen kedua kelab Sepanyol mungkin menjadi pengganti kepada barisan awang import sama ada Dramane Traore, Blazhe Ilijoski atau Jonatan Lucca.

 

Mengulas lanjut, Dr Vida yang juga Penasihat Kehormat KAFA menjelaskan beliau sudah merangka pelan A dan B untuk penambahbaikan pasukan Kelantan, cuma ia memerlukan persetujuan dan perbincangan dengan KAFA.

Berita Harian X