Selasa, 26 April 2016 | 11:17pm

KAFA, Dr Vida bakal bincang hayat ikatan

PENAJA utama Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW), Datuk Seri Hasmiza Othman. - Foto Zulfadhli Zulkifli
PENAJA utama Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW), Datuk Seri Hasmiza Othman. - Foto Zulfadhli Zulkifli

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan mengadakan perbincangan dengan penaja utama Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW), Datuk Seri Hasmiza Othman berhubung masalah prestasi pasukan itu dalam masa terdekat ini.

KAFA membuat keputusan demikian selepas Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Dr Vida menyuarakan hasrat untuk menarik diri daripada menaja pasukan itu selepas kecewa dengan prestasi PQPTRW.

Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Mohd Noor, berkata KAFA sudah mengenalpasti masalah utama pasukan itu dan akan memaklumkannya kepada Dr Vida dalam perbincangan itu nanti.

Beliau berkata, hasil keputusan perbincangan antara pihak pengurusan KAFA dan Dr Vida akan digunakan untuk memperbaiki kelemahan pasukan.

"KAFA mohon Dr Vida mempertimbangkan semula hasratnya untuk menarik balik tajaan dan memberi ruang pihak pengurusan untuk memperbaiki prestasi pasukan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ismail berkata, kehadiran Dr Vida sebagai penaja utama pasukan dianggap rahmat untuk PQPTRW kerana dapat menangani masalah pembayaran gaji dan bonus pemain ketika ini.

"Satu kerugian yang besar kepada seluruh penyokong setia PQPTRW sekiranya Dr Vida benar-benar menarik diri sebagai penaja utama pasukan.

"Malah, jika beliau berbuat demikian, tidak mustahil kehadiran penyokong di Stadium Sultan Muhammad IV juga semakin berkurangan," katanya.

Sabtu lalu, ketika aksi Liga Super antara Kelantan dan Terengganu di stadium itu, kehadiran penyokong hanya kira-kira 3,300 orang sekali gus membuktikan mereka mulai resah dengan aksi longlai PQPTRW.

Katanya, pihaknya berasakan dengan situasi sekarang, satu tindakan drastik perlu dilakukan dengan mengadakan perbincangan bersama penaja itu bagi memastikan PQPTRW tidak lagi dibelenggu masalah prestasi.

Berita Harian X