Sabtu, 14 Mei 2016 | 9:54am
NICO Rosberg beraksi pada sesi latihan bebas Grand Prix Sepanyol di Montmelo, Sepanyol. - Foto Reuters
NICO Rosberg beraksi pada sesi latihan bebas Grand Prix Sepanyol di Montmelo, Sepanyol. - Foto Reuters

Rosberg terpantas sesi latihan bebas GP Sepanyol

BARCELONA: Pendahulu kejuaraan Formula Satu (F1), Nico Rosberg mencatat masa terpantas pada sesi latihan bebas Grand Prix Sepanyol dengan pelumba Mercedes itu kelihatan begitu ghairah mahu memburu kemenangan kelapan berturut-turut.

Ketika pelumba Jerman itu tidak menghadapi masalah, rakan sepasukan juara dunia tiga kali dan pencabar terdekat, Lewis Hamilton pula mengadu mengenai jenteranya selepas menamatkan sesi latihan di tempat ketiga terpantas, semalam.

Rosberg, yang berpeluang menjadi pemandu ketiga memenangi lima perlumbaan pertama esok - selepas rakan senegara Michael Schumacher dan legenda Britain Nigel Mansell - mencatat masa sepusingan terpantas satu minit 23.922 saat.

"Saya berasa selesa dengan jentera, dengan penambahan beberapa bahagian dan ia berjalan lancar," kata Rosberg.

Pelumba Ferrari, Sebastian Vettel muncul terpantas pada sesi sebelah pagi dengan 1:23.951s dan sekadar di kedudukan keempat di sebelah petang.

Rakan sepasukan Vettel, Kimi Raikkonen kedua terpantas, 0.254s di belakang Rosberg di sebelah petang, dengan Hamilton keempat sebelah pagi.

"Ia bukannya hari yang mudah buat saya, saya bergelut dengan keseimbangan jentera sepanjang hari terutamanya di sebelah petang ia benar-benar sukar untuk dipandu," kata Hamilton.

Hamilton kini ketinggalan 43 mata di belakang Rosberg dalam carta kedudukan selepas kegagalan unit kuasa berfungsi dengan baik pada dua perlumbaan terakhir menyebabkan dia terpaksa memulakan aksi di China di petak paling belakang dan petak ke-10 di Russia. - REUTERS

Berita Harian X