Rabu, 18 Mei 2016 | 12:46am
IOC mendedahkan bahawa 31 atlet dari 12 negara mungkin ditegah daripada mengambil bahagian di temasya Sukan Olimpik Rio, Ogos depan angkara gagal ujian doping daripada sampel Sukan Olimpik Beijing 2008 yang diuji semula. - Foto fail EPA
IOC mendedahkan bahawa 31 atlet dari 12 negara mungkin ditegah daripada mengambil bahagian di temasya Sukan Olimpik Rio, Ogos depan angkara gagal ujian doping daripada sampel Sukan Olimpik Beijing 2008 yang diuji semula. - Foto fail EPA

IOC mungkin haramkan 31 atlet dari 12 negara ke Rio

LAUSANNE: Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mendedahkan bahawa 31 atlet dari 12 negara mungkin ditegah daripada mengambil bahagian di temasya Sukan Olimpik Rio, Ogos depan angkara gagal ujian doping daripada sampel Sukan Olimpik Beijing 2008 yang diuji semula.

Senarai 31 atlet berkenaan didapati positif doping daripada ujian semula ke atas 454 sampel menggunakan kaedah ujian termaju pernah digunakan.

Menurut IOC, ujian semula ke atas sampel berkenaan adalah sebahagian daripada langkah tegas memerangi kes kesalahan dadah terlarang kalangan atlet di seluruh dunia selepas skandal berkenaan mendedahkan kesalahan dilakukan atlet Russia awal tahun ini.

Keputusan 250 ujian semula ke atas sampel Olimpik London 2012 juga akan dikeluarkan sedikit masa lagi dengan jumlah kes positif diramalkan berganda.

IOC juga mengarahkan ujian dilakukan ke atas sampel Olimpik Musim Sejuk Sochi 2014 selepas timbul dakwaan makmal ujian dadah Russia bersekongkol untuk membantu atlet mereka.

"Semua langkah ini adalah usaha keras kami melawan penipu yang kami tak akan izinkan mereka menang. Ini menunjukkan bahawa tiada ruang bagi atlet penipu untuk bersembunyi,'' kata Presiden IOC, Thomas Bach, semalam.

Atlet yang disyaki menipu di Beijing dikatakan mengambil bahagian dalam enam acara tanpa menyatakan nama sebenarnya sejurus selesai mesyuarat lembaga pengarah diadakan di sini.

Lembaga Pengarah IOC sebulat suara meluluskan ketetapan untuk menghadapkan atlet disyaki itu secepat mungkin dengan memaklumkan kepada 12 jawatankuasa Olimpik Kebangsaan masing-masing dalam tempoh sehari dua ini.

"Semua atlet yang didapati melanggar syarat anti doping akan diharamkan mengambil bahagian di Olimpik Rio 2016,'' kata Bach.

IOC sudah melakukan kira-kira 4,000 ujian doping sejurus temasya Beijing tamat dengan 1,000 sampel lagi diuji semula secara rambang membabitkan ujian mengesan dadah perangsang dikenali CERA yang akhirnya mendapati juara acara 1500 meter dari Bahrain, Rashid Ramzi sebahagian daripada lima atlet yang ditangkap.

IOC juga mengakui akan mengadakan ujian semula sampel secara besar besaran membabitkan pemenang medal Olimpik Beijing dan London tanpa mengecualikan sampel bakal pemenang andainya pemenang asal didapati gagal ujian doping. - Agensi

Berita Harian X