Sabtu, 28 Mei 2016 | 3:38pm

Kim Swee bingung pilih pengganti Safiq

PENGENDALI Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee. - Foto Osman Adnan
PENGENDALI Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee seakan pening untuk mencongak strategi baharu terutama dalam memilih pemain yang bakal menggantikan Safiq Rahim kerana diketepikan akibat kecederaan di pahanya.

Beliau kini memiliki empat pemain yang dilihat boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan perancang tengah Johor Darul Ta'zim (JDT) itu sekali gus membolehkan menarik nafas lega menjelang aksi persahabatan menentang Myanmar, malam ini.

"Ada beberapa calon untuk menggantikan Safiq, jadi kehilangannya tidak jadi masalah kerana kami ada Baddrol Bakhtiar, Amirulhadi Zainal, Amirul Hisyam dan juga muka baharu, Abdul Latiff Suhaimi.

"Empat pemain ini dirasakan mampu bermain di posisi terbabit, namun saya perlu mengambil kira pelbagai faktor sebelum membuat keputusan untuk menurunkan pemain yang mana satu pada aksi itu nanti," katanya yang akan memilih pertahanan JDT, Aidil Zafuan Abdul Razak sebagai kapten bagi perlawanan malam ini.

Skuad kebangsaan sudah berlepas ke Yangon pagi semalam dan akan beraksi menentang Myanmar di Stadium Thuwunna untuk aksi persahabatan kelas A sebelum berlepas ke Johor Bahru untuk persiapan menghadapi perlawanan playoff Piala Asia menentang Timor Leste, bulan depan.

Mengulas lanjut aksi menentang Myanmar, Kim Swee mengakui hasrat mereka bertandang ke sana adalah untuk mencari kemenangan dan untuk itu, beliau bersedia menurunkan skuad terkuatnya bagi membenam cabaran anak buah Gerd Zeise itu.

"Apa pun, saya perlu mengambil kira tahap kecergasan beberapa pemain JDT yang baharu sahaja beraksi Rabu lalu kerana sebilangan daripada mereka adalah tonggak kesebelasan utama pasukan ini.

"Jadi, berkemungkinan besar mereka yang beraksi penuh pada aksi sebelum ini akan diturunkan pada separuh masa kedua bergantung kepada sejauh mana tahap pemulihan mereka dalam tempoh dua hari ini," katanya.

FAKTA NOMBOR

* 1 kemenangan diraih Myanmar ke atas Malaysia dalam lima pertemuan terakhir

* 167 ranking Myanmar di dunia

Berita Harian X