Selasa, 31 Mei 2016 | 11:55pm

Nasib KAFA diketahui Selasa depan

ABDUL Aziz Yeop Jamaluddin.
ABDUL Aziz Yeop Jamaluddin.

KUALA LUMPUR: Nasib Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang gagal melunaskan tunggakan gaji bekas lima pemainnya akan diketahui Selasa depan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Abdul Aziz Yeop Jamaluddin, berkata pihaknya bercadang mengadakan mesyuarat bersama KAFA dan bekas pemain terbabit pada hari berkenaan.

Katanya, keputusan itu dibuat jawatankuasa bagi mengelakkan kes terbabit terus berpanjangan selain menjamin keputusan yang bakal diambil akan memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak.

"Jawatankuasa Status FAM akan mengadakan satu mesyuarat untuk bincangkan kes ini, jadi kita cadang pada 7 Jun (Selasa). Namun, ia tertakluk kepada persetujuan pihak yang terbabit.

"KAFA sudah hantar afidavit mereka. Kita akan cari penyelesaian terbaik dan kalau boleh tidak membebankan kedua-dua pihak. Apa pun, bergantung kepada afidavit yang mereka serahkan," katanya kepada BH Sukan, hari ini.

Sebelum ini, Jawatankuasa Status FAM sudah menyelesaikan tunggakan gaji 14 pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan bekas jurulatihnya, B Sathianathan menerusi penolakan geran tahunan pasukan terbabit.

Bagi kes Kelantan, ia tidak diselesaikan jawatankuasa itu selepas KAFA dan lima pemain berkenaan bersetuju untuk menyelesaikan sendiri mengikut satu jadual pembayaran.

Bagaimanapun, selepas membayar sebahagian dari tunggakan itu, KAFA dikatakan gagal membuat bayaran tunggakan terbabit mengikut jadual yang ditetapkan sekali gus kes ini kembali dibangkitkan.

"Saya difahamkan KAFA ada buat bayaran, tapi sejauh mana bayaran itu kita tidak pasti. Sama ada mengikut perjanjian mereka sebelum ini juga kita tidak tahu dan KAFA saja yang boleh menjawabnya nanti.

"Kita akan bincangkan semua perkara itu pada mesyuarat nanti. Apa yang pasti tugas kami adalah untuk menyelesaikan kes terbabit sebaik mungkin dan bukannya terus menyukarkan kedua-dua pihak," katanya.

Berita Harian X