Rabu, 1 Jun 2016 | 12:48pm

KAFA hanya ada tempoh seminggu

SETIAUSAHA Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor.
SETIAUSAHA Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor.

JOHOR BAHRU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) diarah melangsaikan tunggakan gaji bekas ketua jurulatih Kelantan, Steve Darby berjumlah RM165,000 sebelum atau pada 8 Jun ini.

Andai masih gagal berbuat demikian Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terpaksa mengambil tindakan susulan yang boleh merugikan persatuan negeri itu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata KAFA juga diarah membayar tunggakan gaji bekas pemain importnya, Gilmar Jose Da Silva Filho sebanyak AS$80,000 (RM328,000) dan gaji bekas lima pemainnya yang kini tertunggak dua bulan.

Isu bayaran gaji tertunggak Darby sudah dimuktamadkan, tetapi KAFA masih gagal membuat bayaran penuh sehingga sekarang.

"Kes Gilmar pula, Jawatankuasa Status FAM menetapkan tarikh akhir bayaran pada 15 Mei lalu selepas memberi ruang kepada KAFA sejak April.

"Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor kemudian menghubungi saya dengan memaklumkan ada membuat bayaran kepada Gilmar sebanyak RM15,000 tetapi selepas tarikh akhir itu, pemain terbabit masih tidak menerima bayaran penuh daripada persatuan terbabit," katanya.

Mengenai tunggakan gaji lima bekas pemain tempatan, beliau berkata, KAFA ada membuat dua kali bayaran kepada pemain terbabit pada bulan Mac dan April, tetapi kemudian gagal melangsaikan dua bulan gaji lagi menerusi bayaran berjadual seperti dipersetujui.

"KAFA perlu menyelesaikan tertunggak gaji Darby sebelum atau pada 8 Jun ini dan kes Gilmar pula akan dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib manakala tunggakan gaji bekas lima pemain skuad itu dirujuk kepada Jawatankuasa Status yang bermesyuarat Selasa ini.

"FAM sudah berlaku adil dan memberi ruang kepada KAFA menyelesaikan isu itu, tetapi sehingga sekarang persatuan itu gagal menanganinya," katanya.

Berita Harian X