Khamis, 2 Jun 2016 | 12:23pm

Ujian semula doping untuk pemenang pingat Olimpik - IOC

PEMENANG pingat Olimpik Beijing dan London perlu menjalani semula ujian doping. - Foto Getty Images
PEMENANG pingat Olimpik Beijing dan London perlu menjalani semula ujian doping. - Foto Getty Images

LAUSANNE: Pemenang pingat Olimpik Beijing dan London perlu menjalani semula ujian doping selepas menjadi sasaran terbaru Jawatankuasa Antarabangsa Olimpik (IOC), umum badan induk itu awal pagi tadi.

IOC berkata, perkembangan itu memaksa mereka menggandakan perbelanjaan ujian anti-doping kepada $500,000 (RM2.07 juta) bagi tempoh waktu antara kini hingga temasya Olimpik di Rio de Janeiro Ogos depan.

"Program menguji semula sampel atlet Olimpik Beijing 2008 dan London akan diteruskan," kata jawatankuasa eksekutif IOC dalam kenyataannya itu.

"Bersama WADA, kami akan mensasarkan pemenang pingat daripada kedua-dua Olimpik untuk menjalani semula ujian."

Malah, jawatankuasa itu berkata 'perjuangan menentang doping menjadi keutamaannya', dengan mereka kini mengadakan beberapa mesyuarat di Lausanne hingga esok.

Katanya, mereka mengamalkan dasar 'langsung tidak bertoleransi' dalam usaha memastikan atlet ke Rio benar-benar bersih.

Lebih daripada 50 kes doping baharu dikenal pasti setakat ini daripada hasil analisis sampel temasya di Beijing dan London. - AFP

Berita Harian X