Sabtu, 11 Jun 2016 | 9:24am

GP Kanada: Hamilton teruskan kebangkitan

LEWIS Hamilton beraksi dalam sesi latihan bebas Grand Prix (GP) Kanada. - Foto AFP
LEWIS Hamilton beraksi dalam sesi latihan bebas Grand Prix (GP) Kanada. - Foto AFP

MONTREAL: Lewis Hamilton meneruskan kebangkitannya apabila melakukan catatan terpantas ketika sesi latihan bebas kedua Grand Prix (GP) Kanada, meninggalkan pelumba Ferrari, Sebastian Vettel untuk sekadar kedua terpantas.

Pelumba pasukan Mercedes AMG PETRONAS itu yang juga juara dunia tiga kali, melakukan catatan terpantas 1 minit 14.212 saat untuk mengatasi Vettel dengan kelebihan 0.257 saat.

Hamilton yang masih segar dengan kemenangan sulungnya musim ini di GP Monaco, dua minggu lalu, ketika ini ketinggalan 24 mata di belakang rakan sepasukannya, Nico Rosberg dalam kedudukan pelumba.

Pelumba kelahiran Britain itu jelas tampak selesa dan yakin beraksi di Litar Gilles Villeneuve, lokasi yang dianggap kegemarannya selepas berjaya memenangi empat perlumbaan di sini selain turut menguasai sesi latihan bebas pertama, semalam.

Rosberg melakukan catatan ketiga terpantas, kurang setengah saat di belakang masa terbaik Hamilton.

Pelumba sensasi Belanda, Max Verstappen melakukan masa keempat terpantas bersama Red Bull di depan rakan sepasukannya, Daniel Ricciardo dalam usaha untuk bangkit melupakan kekecewaan yang berlaku di Monaco.

Valtteri Bottas mencatat masa keenam terpantas bersama jentera Williams manakala seorang lagi pelumba Britain, Jenson Button yang menggunakan jentera McLaren Honda ketujuh terpantas di sebalik masa depannya bersama pasukan itu tampak goyah.

Rakan sepasukan Vettel, Kimi Raikkonen kelapan terpantas di depan pelumba Force India, Nico Hulkenberg diikuti pelumba Sepanyol, Carlos Sainz (Toro Rosso) dan juara dunia dua kali, Fernando Alonso (McLaren) melengkapkan kedudukan 10 terpantas. - AFP

Berita Harian X