Isnin, 27 Jun 2016 | 2:10pm

Sukan SEA/ Sukan Para ASEAN 2017 dianjur serentak

KHAIRY memberikan ucapanselepas Majlis Memeterai Penajaan 100PLUS bagi Kuala Lumpur 2017 di Putrajaya, hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail
KHAIRY memberikan ucapanselepas Majlis Memeterai Penajaan 100PLUS bagi Kuala Lumpur 2017 di Putrajaya, hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) sudah memberi persetujuan dengan cadangan untuk Malaysia mengadakan serentak temasya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN 2017, yang dikenali Kuala Lumpur 2017 pada 19 hingga 31 Ogos tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata beliau dimaklumkan oleh Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), SM Nasaruddin SM Nasimuddin, mengenai keputusan Persekutuan Sukan Para ASEAN yang bermesyuarat pada Jumaat lalu.

"Majoriti negara yang terbabit dalam Sukan Para ASEAN bersetuju untuk menggabungkan atau temasya ini diadakan serentak dengan Sukan SEA.

"Jadi, di peringkat Para kita sudah memperoleh persetujuan, cuma kena tunggu Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) yang akan bermesyuarat pada Julai ini," katanya selepas Majlis Memeterai Penajaan 100PLUS bagi Kuala Lumpur 2017.

SEAGF akan bermesyuarat di Kuala Lumpur pada 14 Julai ini bagi memutuskan kertas cadangan penggabungan itu.

Presiden SEAGF, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar, yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata, cadangan itu dapat menjimatkan banyak kos.

Terdahulu, jenama minuman isotonik nombor satu di Malaysia, 100PLUS menandatangani perjanjian sebagai Penaja Perak bersama Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA (MASOC) dengan tajaan berjumlah RM3 juta.

Khairy berkata, tajaan itu termasuklah wang tunai sebanyak RM1 juta, barangan (RM1 juta) dan promosi (RM1 juta).

"Jumlah penajaan Kuala Lumpur 2017 semakin meningkat, namun kita mahu cuba mendapatkan RM80 juta yang menjadi sasaran penajaan daripada sektor swasta," katanya.

Berita Harian X