Rabu, 29 Jun 2016 | 3:22pm

Pahang tukar semua pemain import serentak

DATUK Seri Dr Abdul Rahman Osman.
DATUK Seri Dr Abdul Rahman Osman.

KUANTAN: Pahang membuat keputusan mengejut apabila menamatkan kontrak empat pemain import musim ini serentak dan menggantikannya dengan barisan pemain baharu dalam usaha memantapkan kembali skuad itu menghadapi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia. 

Empat pemain import yang digugurkan adalah Dalibor Volas dari Slovenia dan German Pacheco (Argentina) yang beraksi di bahagian serangan, Zesh Rehman dari Pakistan (tengah)) dan Naj Potokar (Slovenia)  di posisi pertahanan. 

Pengguguran empat import itu disahkan pengendali skuad Pahang, Razip Ismail selepas mendapat kelulusan daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) untuk menggantikan pemain import baharu yang diyakini mampu melonjak kembali prestasi pasukan. 

Pada jendela perpindahan itu, skuad Tok Gajah mengambil pemain kelahiran Argentina, Pablo Vranjican, Faysal Shayesteh (Afganistan), Cloudio Meneses (Chile) dan Jailton Dos Santos dari Brazil. 

Razip berkata, kehadiran empat pemain import baharu itu diharap membantu memberikan pengalaman terbaik kepada pemain tempatan terutama barisan muda untuk menjadi lebih bagus. 

"Vranjican beraksi di bahagian serangan manakala tengah akan dibantu Faysal dan Meneses serta Santos akan memantapkan barisan pertahanan pasukan. 

"Saya harap mereka dapat beraksi dengan baik untuk memastikan Pahang kembali dengan permainan lebih mantap sekali gus mendapat kedudukan lebih baik dalam pusingan kedua Liga Super musim ini," katanya di sini, hari ini. 

Pada awal musim, Pahang yang pernah menjuarai Piala Malaysia pada 1992, 2013 dan 2014 gagal menyerlah sehingga menyebabkan Ahmad Shaharuddin Rosdi terpaksa melepaskan jawatan selaku jurulatih. 

Dengan menggantikan Razip sebagai pengendali baharu, prestasi skuad Tok gajah menunjukkan peningkatan terutama dari segi sumbangan pemain import yang melayakkan Pahang ke saingan Piala Malaysia. 

Namun, keputusan itu belum cukup memuaskan PBNP apabila menamatkan kontrak keempat-empat pemain import mereka musim ini walaupun mereka semakin menyerlah pada penghujung saingan pusingan pertama Liga Super. 

Justeru, dengan kehadiran empat import baharu, Pahang perlu bekerja keras untuk berada pada kedudukan terbaik bagi mengelak mereka terjerumus ke saingan Liga Perdana musim depan.

Berita Harian X