X
Jumaat, 22 Julai 2016 | 10:46am
PAUL Pogba.
PAUL Pogba.

United belum ada perjanjian muktamad beli Pogba

LONDON: Ejen Paul Pogba menafikan potensi perpindahan rekod dunia bintang Perancis itu dari Juventus ke Manchester United sudah dimuktamadkan dengan Jose Mourinho dilihat cuba memperkuatkan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris.

United dilapor menawarkan STG86 juta (RM462 juta) tetapi ditolak oleh juara Itali itu ketika mereka cuba untuk menarik bintang antarabangsa Perancis, Pogba kembali ke Old Trafford selepas empat tahun melepaskan pemain itu berhijrah secara percuma.

Tetapi skuad Mourinho dijangka kembali dengan tawaran lebih baik mencecah harga yang diminta Juventus, STG100 juta (RM537 juta) selepas naib pengerusi eksekutif United, Ed Woodward bertemu ejen Pogba, Mino Raiola bagi membincangkan terma peribadi minggu ini.

Bagaimanapun, Raiola mendedahkan di Twitter betapa perjanjian yang dijangka memecahkan rekod dunia sebelum ini, STG85 juta yang dibayar Real Madrid untuk Gareth Bale pada tahun 2013, masih belum dimuktamadkan.

"Tiada perjanjian yang dilakukan berkaitan Paul Pogba," tulis Raiola dalam akaun Twitter miliknya.

Mourinho yang kini bersama pasukannya dalam jelajah pra-musim ke China, mengakui kelab itu perlu menandatangani seorang lagi pemain sebelum musim baharu bermula tetapi tidak mengesahkan sama ada ia adalah Pogba yang berusia 23 tahun.

"Saya tidak mengesahkan dan saya tidak menafikan. Saya tidak boleh memberitahu anda," kata Mourinho selepas ditanya pada sidang akhbar di Shanghai sama ada dia boleh mengesahkan laporan.

"Saya tidak fikir ia adalah tepat untuk bercakap mengenai pemain kelab lain, dan dia seorang pemain Juventus dan bukan pemain Manchester United." - AFP

Berita Harian X