Jumaat, 22 Julai 2016 | 9:16pm

KAFA langsai tunggakan gaji 5 bekas pemain

PRESIDEN KAFA, Tan Sri Annuar Musa. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PRESIDEN KAFA, Tan Sri Annuar Musa. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), hari ini melangsaikan hutang tunggakan gaji bekas pemainnya berjumlah RM355,529.90.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, KAFA menunaikan janji melunaskan tunggakan gaji kepada lima bekas pemainnya sebelum 31 Julai iaitu tempoh yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"KAFA tidak mengabaikan kebajikan bekas pemain, namun tetap mengutamakan pemain yang menandatangani kontrak bersama pasukan.

"Pemain sedia ada juga harus diutamakan dari segi pembayaran gaji kerana prestasi pasukan bergantung kepada keprihatinan KAFA menguruskan soal kebajikan mereka.

"Saya juga menggunakan duit sendiri yang dipinjamkan kepada KAFA untuk melunaskan tunggakan gaji berkenaan.

"KAFA juga berjaya melangsaikan sebulan gaji tungggakan empat pemain import baharu dan jurulatih berjumlah RM344,000.00," katanya pada majlis penyerahan replika cek bayaran tunggakan gaji, di sini, sebentar tadi.

Majlis penyerahan replika cek itu turut dihadiri Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail; Bendahari KAFA, Nik Aminaldin Nik Jaafar; Pengurus Pamoga Qu Puteh The Red Warrior (PQPTRW), Wan Badri Wan Omar.

Annuar berkata, prestasi pasukan Kelantan yang semakin meningkat turut menyebabkan beliau mewujudkan semula bayaran bonus kepada pemain jika berjaya memenangi setiap perlawanan.

Selain itu, beliau juga memberitahu bersetuju dengan cadangan mewujudkan jersi baharu yang akan dihasilkan oleh kelab penyokong kerana ia dapat membantu mengurangkan beban kewangan KAFA.

Berita Harian X