Jumaat, 5 Ogos 2016 | 10:25pm

Mourinho yakin misi bawa Pogba

PAUL Pogba. - Foto Reuters
PAUL Pogba. - Foto Reuters

MANCHESTER: Jose Mourinho melahirkan keyakinannya Manchester United akan memeterai perjanjian membawa Paul Pogba ke Old Trafford bagi aksi Liga Perdana Inggeris musim ini, sekali gus mengkritik reaksi rakan pengurus lain terhadap rekod dunia perpindahan itu.

United dan Juventus dipercayai sedang melakukan sentuhan terakhir untuk mengikat perjanjian membawa pemain tengah Perancis itu yang dijangka mencecah STG100 juta (AS$130.4 juta).

Mourinho menyifatkan pengurus pesaingnya seperti Jurgen Klopp dari Liverpool dan Arsene Wenger dari Arsenal sebagai 'tidak beretika' apabila mendedahkan secara terbuka mengenai yuran dan nilai perpindahan Pogba.

Mourinho berharap kehadiran Progba melengkapkan skuadnya menjelang pertemuan United dengan Bournemouth, seminggu lagi pada Ahad depan.

"Ya, kami mempunyai 22 pemain dan kami akan memperoleh pemain ke-23," kata Mourinho apabila ditanya berapa lama lagi perjanjian itu dimuktamadkan.

"Saya tidak suka bercakap mengenai kelab lain atau pemain dari kelab lain. Pengurus lain suka perkara itu. Mereka suka bercakap mengenai kelab saya dan pemain saya.

"Paul Pogba adalah pemain Juventus sehinggalah ia bukan lagi secara rasmi, jadi ia kekal sebegini sekarang.

"Pasaran (jendela perpindahan) ditutup 31 Ogos tapi saya fikir kelab saya berusaha melakukan apa saja untuk menutup jendela perpindahan sebelum 14 Ogos," katanya.

Wenger sebelum ini menyifatkan yuran perpindahan Pogba sebagai 'satu kegilaan' manakala Klopp pula tidak mahu terbabit dalam pasaran yang melambung seperti itu. - AFP

Berita Harian X