Isnin, 8 Ogos 2016 | 12:19am

Pogba jalani ujian perubatan di Manchester

PAUL Pogba.
PAUL Pogba.

LONDON: Perpindahan pemain tengah Perancis, Paul Pogba ke Manchester United hampir menjadi kenyataan selepas Juventus memberikan kebenaran kepada bintangnya itu untuk menjalani ujian perubatan.

"Pogba dibenarkan untuk menjalani ujian perubatan di Manchester," kata jurucakap pasukan itu kepada AFP.

United turut mengesahkan berita terbabit menerusi laman web rasmi pasukan itu.

"Paul Pogba diberikan kebenaran untuk menjalani ujian perubatan untuk memuktamadkan perpindahannya daripada Juventus ke Manchester United."

Pemain berusia 23 itu yang meninggalkan United tanpa yuran perpindahan besar pada 2012 tidak menyertai Juventus pada aksi persahabatan mereka menentang West Ham United di London.

Laporan menyatakan dia sudah pun berada di Manchester.

Nilai perpindahan bagi pemain terbabit dijangka mencecah STG100 juta (RM527 juta) untuk pemain yang meninggalkan United dengan nilai STG800,000 (RM4.2 juta) pada 2012. - AFP

Berita Harian X