Khamis, 11 Ogos 2016 | 4:37pm

MHL 2016: TNB yakin khidmat pemain tempatan

KUALA LUMPUR: Pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yakin dapat memberikan saingan sengit kepada pasukan lawan menjelang saingan Liga Premier dalam kempen TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2016.

TNB yang menjadi satu-satunya pasukan menggunakan keseluruhan khidmat pemain tempatan dalam saingan Liga Premier dan Divisyen Satu, sekali gus mengekalkan polisi untuk tidak menggunakan khidmat import dalam kedua-dua saingan TNB MHL tekad tampil membuktikan keupayaan sebenar kali ini.

Saingan Divisyen Satu sudah memulakan saingan manakala Liga Premier akan bermula pada 19 Ogos ini.

Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman berkata dia sentiasa menyokong dan mempercayai kemampuan pemain tempatan serta yakin mereka setanding dengan pemain import selain yakin campuran pemain muda dan berpengalaman mampu memberikan pendedahan berguna kepada pemain muda.

"Kami mahu memberikan peluang kepada pemain tempatan untuk menyinar dan menunjukkan bakat sebenar mereka di peringkat tertinggi. Inilah sebabnya kami fokus terhadap peringkat akar umbi dan pembangunan pemain muda," kata Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) merangkap pengurus pasukan, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin pada sidang media selepas majlis pengenalan pasukan di Kompleks Sukan Tenaga Nasional, di sini, hari ini.

Mohd Aminuddin juga yakin pasukannya akan menjadi pencabar pada musim ini walaupun tanpa pemain import berbanding pasukan lain.

Untuk rekod, TNB menamatkan saingan di tempat keempat musim lalu dan akan berdepan saingan sengit daripada pasukan seperti Kelab Hoki KL (KLHC), Sapura HC, Terengganu HT (THT) yang sudah menandatangani beberapa pemain import berkualiti untuk memburu kejuaraan musim ini.

Berita Harian X