Jumaat, 19 Ogos 2016 | 5:13pm

Ayah yakin Chong Wei boleh jinak Lin Dan

PEMAIN badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei. - Foto Reuters
PEMAIN badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei. - Foto Reuters

GEORGETOWN: Bapa pemain badminton nombor satu negara yakin anaknya, Datuk Lee Chong Wei, boleh mengalahkan pemain China Lin Dan dalam perlawanan separuh akhir badminton Sukan Olimpik malam ini jika dia fokus.

Lee Ah Chai berkata itu juga nasihat beliau sebelum anaknya berangkat ke Rio de Janeiro supaya anaknya bermain seperti biasa, fokus dan tidak tertekan dengan keadaan sekeliling.

"Kamu pasti boleh!", nasihat bapanya yang menegaskan Chong Wei sangat komited untuk melakukan yang terbaik buat negara kerana ini mungkin peluang terakhirnya bertanding di sukan berprestij itu.

Chong Wei akan bertemu musuh tradisinya, Lin Dan yang menggagalkan misinya untuk memperoleh emas dalam Sukan Olimpik 2008 dan 2012.

Ah Chai yang juga sangat berpengalaman dalam sukan badminton, berkata perlawanan itu sukar untuk diduga tetapi sekiranya diperhatikan dengan teliti, pukulan Lin Dan adalah lebih perlahan daripada Chong Wei dan Chong Wei perlu mengambil kesempatan atas kelemahan itu.

"Lin Dan dan Chong Wei ialah pemain yang hebat. Kemenangan akan berpihak kepada siapa yang kurang melakukan kesilapan," katanya.

Chai juga yakin sekiranya Chong Wei berjaya menewaskan Lin Dan, peluang untuknya memperoleh emas di Olimpik Rio sangat cerah.

"Chong Wei bukan anak saya seorang tetapi juga anak Malaysia. Saya berharap rakyat Malaysia akan menyokong beliau dalam perlawanan malam ini," katanya.

Chong Wei akan bertemu Lin Dan untuk aksi separuh akhir badminton perseorangan lelaki kira-kira pukul 7.30 malam waktu Malaysia dan bapanya akan menonton perlawanan secara langsung di Langkawi bersama isteri dan rakan-rakan. - BERNAMA

Berita Harian X