Ahad, 4 September 2016 | 12:01pm

Perancis waspada ancaman Belarus

PASUKAN Peracis ketika seisi latihan. - Foto AFP
PASUKAN Peracis ketika seisi latihan. - Foto AFP

CLAIREFONTAINE-EN-YVELINES, Perancis: Penyerang Arsenal, Olivier Giroud berkata, Perancis tidak akan mengambil mudah Belarus apabila pasukan itu akan memulakan kelayakan Piala Dunia 2018 di Minsk awal pagi Rabu nanti.

Perancis berada pada prestasi hebat sepanjang musim panas, mara ke final Euro 2016 di laman sendiri sebelum mencipta kemenangan 3-1 di tempat lawan mengatasi Itali Khamis lalu dalam perlawanan persahabatan.

Giroud menjaringkan gol dalam perlawanan itu dan pemain berusia 29 tahun itu menjangkakan cabaran sengit dari Belarus, yang menewaskan Perancis 3-1 di laman sendiri dan 4-2 di tempat lawan dalam kelayakan Piala Dunia Brazil.

"Saya tidak tahu pasukan ini (Belarus), kami tiada masa untuk mengkaji mereka," kata Giroud.

"Kami menjangkakan perlawanan sukar tetapi terpulang kepada kami untuk menjadikannya mudah.

"Mereka berada dalam musim liga, jadi secara fizikal mereka berada dalam keadaan terbaik yang tidak sama seperti kami, terutama saya."

Walaupun Giroud menggambarkan kekalahan Perancis pada final Euro di tangan Portugal sebagai "memedihkan", dia mendapati pasukan kebangsaan berada dalam keadaan yang baik.

"Kami menyedari kami melalui Euro yang bagus, kami berada di laluan sebenar walaupun tewas pada final itu," katanya. - AFP

Berita Harian X