Sabtu, 10 September 2016 | 6:00am

Siapa Raja Manchester - Mourinho atau Guardiola?

 GUARDIOLA dan Mourinho.
GUARDIOLA dan Mourinho.

KOLUM APA KATA EPL

Kunjungan Manchester City ke Old Trafford malam ini untuk berentap dengan jirannya, Manchester United menjadi aksi tumpuan kita minggu ini. Pasukan mana yang anda pilih akan menang?

Buat penyokong tegar kedua-dua pasukan, kita boleh ramalkan kecenderungan mereka. Namun bagi yang tidak memihak, atau mungkin ada kelab lain diminati, telahan tentunya pelbagai.

Bagi penulis, aksi Manchester Derby musim ini, bukan setakat persaingan antara dua kelab terkemuka di Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk meraih gelaran Raja Manchester dan tiga mata berharga. Malah, ia lebih daripada itu.

Jika diimbas, perseteruan antara keduanya mula menyerlah pada 2010, dua tahun selepas City diambil alih oleh Kumpulan Abu Dhabi. Selepas itu, persaingan antara dua jiran ini terus berkembang dalam pemburuan gelaran juara liga sehingga musim ini.

Namun pada musim ini, ia melangkah ke satu era baharu pula. Persaingan bukan lagi setakat terhad membabitkan kelab dan pemain untuk mengungguli carta, malah turut mengaitkan pembimbing mereka.

Manchester Derby kali ini turut ingin melihat siapa yang terbaik antara Jose Mourinho dan Pep Guardiola. Dua jurulatih yang dianggap antara terbaik di dunia ketika ini dengan pencapaian luar biasa dan pengalaman hebat sebelum tampil di EPL.

Kalau meniti rekod lalu, Mourinho dan Guardiola sudah bertemu sebanyak 16 kali ketika mereka bersaing di Liga Sepanyol. Guardiola hanya tewas tiga kali dalam 16 pertemuan itu yang turut merangkumi tujuh menang dan enam seri.

Mourinho dan rakan sejawatannya itu pernah bersama lebih dua dekad lalu, ketika dia menjadi penolong jurulatih Barcelona, manakala Guardiola pula sebagai kapten pasukan.

Malam ini, mereka tampil buat pertama kali bersaing di pentas EPL dengan rekod menang tiga aksi pertama dan memiliki mata sama. Dipisahkan hanya dengan jumlah jaringan.

Kali pertama United dan City memenangi tiga aksi pertama EPL adalah pada musim 2011/2012, apabila The Citizens mengenepikan United untuk memenangi kejuaraan liga menerusi perbezaan jaringan gol.

City memenangi aksi Manchester derby, 4-1 pada September 2013, ketika kedua-dua kelab dibimbing pengendali baharu iaitu Manuel Pellegrini dan David Moyes.

Bagi aksi yang bakal sengit ini, penulis jangkakan ia akan berpihak kepada United. Kelebihan beraksi di laman sendiri menjadi penentu kemenangan pertama Mourinho ke atas Guardiola tatkala kedua-duanya memiliki formula hampir sama untuk menang.

Pun begitu, tatkala kita menumpukan kepada strategi yang bakal digunakan dua pengendali itu, aksi malam ini juga bakal mencatat sejarah buat saingan EPL apabila menghimpunkan pemain dengan nilai lebih 600 juta pound (RM3.251 bilion).

United membariskan pemain dengan nilai 328.1 juta pound (RM1.7 bilion) dengan Paul Pogba sebagai termahal dunia (89 juta pound atau RM481.9 juta), manakala City pula sebanyak 289.25 juta pound (RM1.56 bilion). Selamat menonton.

Penulis adalah Penolong Editor Sukan BH

Ramalan Minggu ke-4:

Man United 2 - Man City 1

Burnley FC 1 - Hull City 2

Bournemouth 1 - West Brom 1

West Ham 1 - Watford 1

Middlesbrough 2 - Crystal Palace 1

Arsenal 1 - Southampton 1

Stoke City 1 - Tottenham 2

Liverpool 1 - Leicester City 1

Swansea City 1 - Chelsea 3

Sunderland 1 - Everton 1

Berita Harian X