Jumaat, 16 September 2016 | 7:54am

FIFA bakal gantung Persatuan Bola Sepak Guatemala

Ketua Persatuan Pegawai FIFA, Primo Corvaro (kanan) di sebelah Presiden Jawatankuasa Normalisasi FIFA, Adela Torrebiarte, di Persekutuan Bola Sepak Guatemala (Fedefut), di Bandar Raya Guatemala, Guatemala. - Foto REUTERS
Ketua Persatuan Pegawai FIFA, Primo Corvaro (kanan) di sebelah Presiden Jawatankuasa Normalisasi FIFA, Adela Torrebiarte, di Persekutuan Bola Sepak Guatemala (Fedefut), di Bandar Raya Guatemala, Guatemala. - Foto REUTERS

GUATEMALA CITY: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bakal menggantung persatuan Bola Sepak Kebangsaan Guatemala susulan pertikaian berhubung bidang kuasa dilakukan Fedefut dalam kes menangani masalah doping pemain.

Ketua Persatuan Pegawai FIFA, Primo Corvaro mendedahkan perkara itu semalam sambil mengesahkan bahawa badan induk itu sedang berbincang dengan CONCACAF berhubung tindakan lanjut.

"Buat masa ini, FIFA dan CONCACAF masih berbincang dan keputusan akan diumumkan sejurus mereka mencapai keputusan mengenai campur tangan kerajaan dalam pentadbiran," katanya.

FIFA terpaksa masuk campur selepas sebuah Mahkamah Sukan Guatemala (CDAG) menggantung ahli jawatankuasa tadbir urus FIFA (Fedefut), baru-baru ini.

CDAG adalah sebuah badan rasmi kerajaan negara berkenaan.

Minggu lalu, CDAG mengumumkan bahawa prosedur tadbir urus yang digunakan jawatankuasa itu dalam menilai pemain Guatemala yang dikenakan hukuman kesalahan doping tidak mengikut peraturan yang ditetapkan sekali gus menggantung mereka selama enam bulan.

Corvaro menganggap tindakan itu sebagai campur tangan kerajaan.

Jawatankuasa Fedefut FIFA itu dibentuk khusus untuk menjalankan tugas rasmi susulan penahanan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Guatemala, Brayan Jimenez, yang mengaku bersalah terbabit rasuah berhubung kontrak siaran langsung TV di mahkamah Amerika Syarikat tahun lalu. - Agensi

Berita Harian X