Ahad, 18 September 2016 | 7:59am

Piala Malaysia: T-Team sekat kemaraan FELDA United

PEMAIN T-Team, Dilshod Sharofetdinov (tengah) meraikan jaringannya pada perlawanan Piala Malaysia menentang FELDA United di Stadium Tun Abdul Razak, Maran. - Foto Farizul Hafiz Awang
PEMAIN T-Team, Dilshod Sharofetdinov (tengah) meraikan jaringannya pada perlawanan Piala Malaysia menentang FELDA United di Stadium Tun Abdul Razak, Maran. - Foto Farizul Hafiz Awang

MARAN: T-Team mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia selepas menumpaskan FELDA United, 1-0, dalam aksi suku akhir kedua saingan Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak Jengka di sini, malam tadi.

Jaringan tunggal Dilshod Sharofetdinov pada babak kedua membawa kelab Pantai Timur itu mara dengan agregat 2-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Kuala Terengganu sebelum ini.

Dalam saingan malam tadi, FELDA cuba mencari gol sulung menerusi cubaan Ahmad Syamim Yahya pada minit keenam yang membuat tendangan kencang dari luar kotak penalti namun tersasar.

Pemain tuan rumah sekali lagi cuba berada di depan menerusi Francis Forkey Doe yang membawa bola dari luar kotak penalti, namun tersasar tinggi ke atas palang gol pada minit ke-24.

Tandukan Forkey Doe pada minit ke-40 juga berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol T-Team, Muhd Ilham Amirullah Razali menyaksikan perlawanan bertambah panas dengan cubaan demi cubaan oleh kedua-dua pasukan.

Tersentak dengan beberapa cubaan FELDA, T-Team cuba bangkit dengan cubaan Makan Konate pada minit ke-45 menerusi tendangan kencang namun berjaya dipatahkan oleh pemain pertahanan tuan rumah.

Masuk babak kedua, The Titans mula menampilkan corak permainan lebih bertenaga selepas rehat dan berjaya melakukan gerakan menarik untuk menembusi benteng pertahanan lawan.

Konate yang bermain cemerlang pada malam tadi sekali lagi cuba menghasilkan gol untuk T-Team dengan membuat tendangan kencang dari luar kotak penalti, namun melambung tinggi di atas palang gol.

Peluang di hadapan mata gagal dimanfaatkan oleh Forkey Doe apabila bola hasil hantaran Zah Rahan Krangar pada minit ke-71 melambung tinggi ke atas palang gol.

The Titans akhirnya berjaya memperoleh gol kemenangan apabila Sharofetdinov bijak menanduk masuk bola ke gawang minit pada ke-77 hasil sepakan sudut rakannya, Mohd Nor Hakim Hassan dari penjuru kiri gol pasukan lawan.

Berita Harian X