Ahad, 18 September 2016 | 9:26pm

Watford benam Man United 3-1

PEMAIN Watford, Sebastian prodl (kiri) diasak pemain Manchester United, Zlatan Ibrahimovic pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di Vicarage Road, sebentar tadi. - Foto AFP
PEMAIN Watford, Sebastian prodl (kiri) diasak pemain Manchester United, Zlatan Ibrahimovic pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di Vicarage Road, sebentar tadi. - Foto AFP

LONDON: Watford menghadiahkan mimpi buruk buat Jose Mourinho selepas menumbangkan Manchester United 3-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, di Vicarage Road, sebentar tadi.

Kekalahan itu mengikuti kekalahan dalam kempen Liga Europa kepada Feyenoord, pertengahan minggu lalu selepas turut dimalukan kelab tetangga, Manchester City pada aksi sebelumnya.

United yang bertekad menjadikan Watford sebagai medan kebangkitan pada perlawanan itu, ketinggalan pada minit ke-34 menerusi jaringan Etienne Capoue.

Tanpa tambahan jaringan sehingga menuju rehat, Marcus Rashford, pemain yang disenaraikan dalam kesebelasan utama United buat pertama kali musim ini di EPL menyamakan kedudukan pada minit ke-62.

Begitupun, ketika perlawanan tambah rancak, pemain gantian Juan Zuniga yang juga pemain pinjaman dari kelab Itali, Napoli kembali meletakkan Watford di depan pada minit ke-83.

Ketika United memburu jaringan di minit-minit akhir permainan, Marouane Fellaini menjatuhkan Zuniga di kawasan penalti.

Kapten Watford, Troy Deeney tidak bermasalah untuk menyempurnakan penalti itu untuk kemenangan buat tuan rumah pada masa kecederaan.

Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan mampu menambah jaringan dengan beberapa cubaan berbahaya United termasuk daripada penyerang Zlatan Ibrahimovic, namun ia berjaya diselamatkan penjaga gol Watford yang beraksi cemerlang, Heurelho Gomes.

Paul Pogba juga mempunyai peluang terbaik untuk menjaringkan gol namun rembatan jarak jauhnya sekadar menggegar palang. - AFP

Berita Harian X