Isnin, 26 September 2016 | 5:24pm

KAFA kekal khidmat Popov untuk musim 2017

KETUA jurulatih skuad The Red Warriors (TRW), Velizar Emilov Popov. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
KETUA jurulatih skuad The Red Warriors (TRW), Velizar Emilov Popov. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bersetuju mengekalkan khidmat Velizar Emilov Popov sebagai ketua jurulatih skuad The Red Warriors (TRW) bagi musim hadapan.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa ketika mengesahkannya berkata jurulatih kelahiran Bulgaria itu diberi kuasa penuh memilih pemain tempatan dan import serta pegawai untuk pasukan Kelantan pada musim depan.

"Bersembang panjang bersama Popov petang ini (semalam) dan mendengar laporan, teguran (dan) cadangan untuk The Red Warriors.

"Popov dilantik semula sebagai headcoach (ketua jurulatih) TRW (The Red Warriors) 2017... dan diberi kuasa penuh memilih pegawai dan pemain (import dan tempatan) untuk skuad 2017," katanya dalam entri di laman sosial Facebooknya lewat malam tadi.

Annuar berkata, KAFA berpuas hati dengan komitmen Popov musim ini dan mahu jurulatih itu memilih sendiri barisan impiannya bagi memastikan 2017 adalah tahun gemilang buat Kelantan.

Sebelum ini, tersebar berita menerusi aplikasi WhatsApp yang menyatakan Popov bakal meninggalkan TRW selepas kecewa kerana masih ada 'tangan ghaib' yang mencampuri urusan pasukan itu.

Selain itu, beberapa tonggak utama Kelantan dikatakan turut membayangkan hasrat berhijrah ke pasukan lain pada musim depan selepas kecewa dengan sistem dan pengurusan KAFA dalam beberapa perkara seperti pembayaran gaji.

Antara pemain yang disebut-sebut bakal 'angkat kaki' ialah Wan Zack Haikal Wan Noor yang akan berhijrah ke pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohd Badri Mohd Radzi (Melaka United) dan Wan Zaharulnizam Wan Zakari (JDT atau Selangor).

Selain itu, Nor Farhan Muhammad (JDT), Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United atau Kedah), Brendan Gan (JDT) dan Indra Putra Mahayuddin (T-Team).

Lebih memburukkan keadaan, khabar angin itu turut mendakwa penaja terbesar TRW, Vida Beauty Sdn Bhd turut mengambil keputusan tidak lagi menaja pasukan itu pada musim depan kerana kecewa dengan prestasi dan kemerosotan skuad itu.

- BERNAMA

Berita Harian X