Ahad, 2 Oktober 2016 | 8:32pm

F1: Jualan tiket hampir sama dengan jumlah 2015

PENONTON diberi peluang turun ke litar sejurus tamat perlumbaan Grand Prix F1 Petronas Malaysia 2016 di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto Osman Adnan
PENONTON diberi peluang turun ke litar sejurus tamat perlumbaan Grand Prix F1 Petronas Malaysia 2016 di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto Osman Adnan

SEPANG: Jualan tiket Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Malaysia yang menutup tirainya petang tadi menyaksikan jumlah kutipan yang hampir sama dengan tahun lalu.

Secara keseluruhannya, pihak penganjur Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mencatatkan 83,828 pengunjung dan untuk hari perlumbaan saja mereka sudah mencatat jualan 46,944 tiket.

"Kita dapat mencapai jualan tiket 46,944 (pada hari Ahad). Semalam (Sabtu), kita ke belakang tetapi jualan tiket pada Ahad memberangsangkan dan kita dapat mengejar semula jumlah tahun lalu.

"Jadi, ini sedikit melegakan, kita tidaklah begitu ke belakang daripada jumlah tahun lalu, kita dapat dapat menyamai jumlah jualan dengan tahun lalu.

Penganjuran tahun ini berlangsung pada bulan Oktober dan ia lewat daripada kalendar 2015 di mana Malaysia menjadi penganjur untuk Pusingan Kedua musim, Mac tahun lalu.

"Sepatutnya dengan kelewatan ini pada Oktober, kita dapat lebih (jualan) daripada penonton Malaysia.

"Apapun, daripada pemerhatian saya, sejak kebelakangan ini ramai pengunjung luar negara yang datang. Semalam (kelmarin), saya lihat ramai dari luar negara yang datang.

"Daripada itu, saya boleh katakan dari tahun ke tahun ada peningkatan sebanyak 1.8 peratus hadir ke acara F1 ini dan ia memberi impak ekonomi yang baik kepada Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali.

Mengulas mengenai kalendar musim depan yang tarikhnya sehari selepas sambutan Hari Malaysia, Razlan berkata: "Ia satu tarikh yang baik kerana kalau dibandingkan minggu ini, Ahad (hari perlumbaan) adalah Awal Muharam dan esok cuti jadi mungkin ramai yang bercuti panjang.

"Namun, tahun depan (Hari Malaysia) Sabtu, jadi tak ada cuti umum pada Isnin. Jadi bagi saya, tarikh itu baik untuk Malaysia."

Berita Harian X