Isnin, 10 Oktober 2016 | 4:01pm

Naza serah kereta, kondominium kepada atlet Paralimpik

KUALA LUMPUR: Empat atlet negara yang meraih pingat emas dan gangsa di Paralimpik Rio 2016 akhirnya menerima habuan daripada Naza Corporation Holding hari ini yang bernilai keseluruhan RM1.5 juta.

Sumbangan disampaikan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat terbabit, SM Nasaruddin SM Nasimuddin dalam satu Majlis Penyerahan Sumbangan yang diadakan di Menara Naza.

Naza Corporation menghadiahkan seunit suite mewah di Trion 888, Equine Park dan kenderaan Kia Sportage keluaran terbaru bernilai RM121,888 setiap satu kepada tiga atlet diketuai pemenang pingat emas acara 100 meter lelaki kategori T36, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi.

Dua lagi pemenang pingat emas, Ziyad Zolkefli daripada acara lontar peluru lelaki kategori F20 dan Abdul Latif Romly (lompat jauh lelaki T20) turut menerima habuan yang sama.

Lain pula bagi pemenang pingat gangsa acara lompat jauh wanita kategori T20, Siti Noor Radiah Ismail apabila menerima kenderaan Kia K2 bernilai RM72,888.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, turut hadir pada majlis terbabit bersama bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Tun Jeanne Abdullah yang juga penaung Majlis Paralimpik Malaysia.

ATLET Paralimpik Rio 2016, Mohamad Rizuan Mohammad (lima dari kanan) Puzi Abdul Latif Romly (tiga dari kanan) Ziyad Zolkefli (empat dari kanan) pada Majlis Penyerahan Sumbangan daripada Kumpulan Syarikat Naza kepada Pemenang Pingat Sukan Paralimpik Rio 2016 di Menara Naza Persiaran KLCC, hari ini. Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (dua kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Naza, SM Nasarudin Nasimuddin (kanan). - Foto Hasriyasyah Sabudin

Berita Harian X