X
Selasa, 11 Oktober 2016 | 8:45pm

Kedah negeri pertama jalin kerjasama dengan NFDP

MENTERI Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin bersama Menteri Besar Kedah merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menyaksikan majlis pertukaran dokumen perjanjian persefahaman antara KFA yang diwakili oleh Timbalan Presiden KFA Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah (duduk dua, kiri) dengan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) yang diwakili oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail (duduk dua, kanan) di Kementerian Belia dan Sukan hari ini.Turut sama menyaksikan ialah Setiausaha Kehormat KFA Datuk Aminuddin Omar (duduk kiri) dan Pengarah Kanan PPBN Safirul Azli Abu Bakar (duduk kanan). - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) merupakan persatuan negeri pertama menjalin kerjasama dengan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) bagi membangunkan bola sepak remaja di negeri itu.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk berpadu tenaga dalam menyelaraskan semua inisiatif pembangunan bola sepak Kedah di peringkat akar umbi.

"KFA menjadi negeri pertama yang menjalankan kerjasama dengan NFDP. Melalui perjanjian ini, kita akan dapat penyelarasan lebih baik lagi di peringkat negeri dan akademi yang ditubuhkan di bawah NFDP di negeri Kedah.

"NFDP akan teruskan program sedia ada di Akademi Tunas, Pusat Latihan Daerah dan Sekolah Sukan Negeri Kedah iaitu akan membekalkan pemain bagi Akademi Dato' Ahmad Basri (ADAB)," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara KFA dan NFDP di Menara KBS, di sini.

Dalam pada itu, Khairy menjelaskan peranan KFA adalah mengiktiraf NFDP sebagai unit pembangunan bola sepak KFA selain menyedia dan menyelenggara padang untuk latihan pemain.

"Padang-padang itu adalah Stadium Suka Menanti, Kompleks Hijau Kuning dan dua lagi padang yang akan ditentukan kemudian iaitu Padang Penjara Alor Setar dan Padang INSPIN (Institut Pengurusan Dan Integriti Negeri Kedah Darul Aman," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata kerjasama tersebut akan menaikkan semangat penyokong bola sepak negeri Kedah terutamanya bakat muda.

"Saya yakin melalui kerjasama sebegini, kita dapat menyediakan pemain pelapis berbakat besar. Kedah sangat memerlukan bantuan sentuhan daripada KBS terutama sekali dalam sukan bola sepak.

"Rancangan kerajaan negeri sendiri, kami mewujudkan Akademi Dato' Ahmad Basri untuk memberi satu suntikan kepada anak-anak muda di Kedah," kata Ahmad Bashah yang juga presiden KFA. - BERNAMA

Berita Harian X