Jumaat, 14 Oktober 2016 | 9:47am

Koeman mahu guna kelemahan City

Ronald Koeman (kiri) dan Pep Guardiola. - Foto Goal.com
Ronald Koeman (kiri) dan Pep Guardiola. - Foto Goal.com

LONDON: Pengurus Ronald Koeman, memuji impak dibawakan Pep Guardiola ke atas pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City namun menegaskan pasukan kendaliannya Everton mampu mengeksploitasi corak permainan 'berisiko' diterapkan pengendali dari Sepanyol itu ketika mereka berkunjung ke Stadium Etihad, esok.

City tercicir mata pertama mereka musim ini ketika mereka ditewaskan di halaman lawan di Tottenham Hotspur baru-baru ini dan Koeman yakin Everton mampu memanfaatkan ruang ditinggalkan Guardiola dalam taktik tekanan tinggi diterapkan pesaingnya itu sebagai kelebihan buat mereka.

"Saya dapat menyaksikan dalam kebanyakan pasukan dikendali Pep...adalah bola sepak Belanda," kata Koeman.

"Saya menyukainya kerana itu adalah cara paling sukar untuk menang, bermain dengan corak serangan, kadangkala berisiko bagi meraih gelaran diimpikan.

"Sukar untuk bertahan dengan cara sebegitu tetapi kami mempunyai contoh daripada pasukan lain yang dapat meraih keputusan baik ketika berdepan mereka.

"Kadangkala sukar juga kerana mereka bermain dengan banyak ruang di belakang mereka. Sekiranya kami dapat melepasinya, kami mampu menyukarkan perlawanan."

City menang dalam 10 perlawanan awal mereka dalam keseluruhan kejohanan disertai musim ini sebelum terikat 3-3 dengan Celtic ketika aksi Liga Juara-Juara, September lalu dan tewas 0-2 di tangan Tottenham selepas itu.

Koeman bagaimanapun memuji impak pantas dibawakan Guardiola ke atas kelab berkenaan dan dia sangat menghormati bekas rakan sepasukannya di Barcelona pada awal 1990-an itu.

"Kami rakan yang baik dan kini ia menjadi lebih senang kerana dia tinggal di Manchester dan hampir dengan saya.

"Kadangkala kami meluangkan masa untuk makan malam bersama," kata Koeman yang turut kagum dengan kemenangan 4-0 City ke atas Borussia Moenchengladbach dalam kancah Liga Juara-Juara, bulan lalu.

"Saya melihat perlawanan City menentang Gladbach dan ia sesuatu yang bagus bagi melihat perbezaan antara corak permainan yang diterapkan mereka musim ini dan juga tahun lalu," katanya.

Everton kini berada di tangga kelima liga dan satu kemenangan mampu menganjakkan mereka ke kedudukan keempat di atas Liverpool - paling tidak untuk seketika dengan seteru Merseyside itu dijadual bertemu Manchester United, Isnin ini. - Reuters

Berita Harian X