Jumaat, 21 Oktober 2016 | 3:08pm

Liverpool sedia bangkit jumpa West Brom

PEMAIN tengah Liverpool, Adam Lallana. - Foto Reuters
PEMAIN tengah Liverpool, Adam Lallana. - Foto Reuters

LIVERPOOL: Liverpool tetap optimis meskipun kecewa seri tanpa jaringan di laman sendiri pada Isnin lalu kepada Manchester United, apabila senarai kecederaan Jurgen Klopp semakin pendek.

Georginio Wijnaldum terlepas peluang bermain menentang United apabila perlu menjalani pemulihan kecederaan pinggul yang dihadapi ketika mewakili Belanda bagi kelayakan Piala Dunia, tetapi pemain tengah itu kembali berlatih dan bersedia menentang West Brom di Anfield pada malam esok.

Pemain tengah Adam Lallana yang bermain setengah jam sebagai pemain gantian pada Isnin lalu, sudah pulih sepenuhnya daripada masalah pangkal paha dan sepatutnya boleh bermain lebih lama pada hujung minggu ini.

Liverpool memenangi lima perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan sebelum seri menentang pasukan Jose Mourinho, kekal berada di kedudukan baik menjelang hujung minggu ini, apabila menduduki tempat keempat Liga Perdana, dua mata di belakang pendahulu, Manchester City.

Penyertaan semula Wijnaldum dan Lallana yang kedua-duanya tampil dengan persembahan mengagumkan pada musim ini, memberikan keyakinan semangat buat Liverpool.

"Dia adalah pemain yang sangat bagus, ia adalah sangat penting bagi kami," kata pengurus Liverpool, Klopp mengenai Lallana. "Sejak saya berada di sini, dia kekal di tahap tinggi.

"Apabila dia masih sangat muda, dia sudah menjadi kapten Southampton, jadi ia banyak menjelaskan mengenai dia.

"Dia adalah pemain yang bijak dan di umurnya kini di mana pengalaman banyak membantu anda dan lebih jika anda seorang yang bijak. Itu adalah apa yang dia lakukan. Dia adalah pemain Liverpool yang sebenar, sayangkan kelab ini." - AFP

Berita Harian X