Sabtu, 29 Oktober 2016 | 7:27am

FIFA gantung Guatemala

ZURICH: Guatemala digantung daripada bola sepak antarabangsa selepas lembaga pengarah badan bola sepaknya enggan mengiktiraf satu jawatankuasa sementara yang dibentuk FIFA menjalankan mentadbir sukan berkenaan di negara itu.

FIFA dalam satu kenyataan hari ini berkata, susulan itu skuad kebangsaan negara itu serta kelabnya tidak dibenar menyertai sebarang kejohanan antarabangsa manakala Persekutuan Bola Sepak Guartemala (FEDEFUT) tidak lagi menerima dana dari badan induk dunia itu.

Tindakan FIFA diambil ekoran keputusan FEDEFUT pada Disember tahun lalu yang membentuk satu jawatankuasa untuk menjalankan semua bentuk perniagaan, pemilihan dan pemodenan kemudahan di negara itu.

Namun FIFA berkata, jawatankuasa itu tidak lagi dibenar berfungsi selepas mandat pemilihan agung FEDEFUT dilucutkan Selasa lalu.

Sehubungan itu, FIFA berkata secara tidak langsung Guatemala digantung oleh badan induk bola sepak dunia itu.

"Penggantungan itu akan ditarik semula hanya selepas perhimpunan agung FEDEFUT meluluskan mandat untuk jawatankuasa berkenaan beroperasi sehingga 31 Julai 2017," kata FIFA.

Guatemala sudah pun terkeluar dari saingan Kelayakan Piala Dunia 2018.

Skuad kebangsaan negara itu tidak pernah layak ke Piala Dunia dan kini menduduki ranking ke-83 FIFA. - REUTERS

Berita Harian X