Ahad, 30 Oktober 2016 | 12:01am

Hoki: Terima padah angkara lambat panas

Jurulatih skuad hoki wanita negara Dhaarma Raj Abdullah.
Jurulatih skuad hoki wanita negara Dhaarma Raj Abdullah.

KUANTAN: Jurulatih skuad hoki wanita negara Dhaarma Raj Abdullah mengaku pasukannya menerima padah angkara bermula agak perlahan ketika tumpas 5-2 kepada Korea Selatan pada aksi pembukaan Trofi Juara-Juara Asia di Stadium Hoki Sengkang, Singapura, petang tadi.

Bagaimanapun, pengendali berusia 47 tahun itu tetap berpuas hati dengan semangat juang pemainnya yang cuba bangkit mengejar meskipun pada satu ketikanya ketinggalan 3-0 kepada skuad bimbingan Hong Kyung Suep.

"Sejak dari Liga Hoki Australia saya mengesan pemain mempunyai masalah lambat panas pada awal permainan, pemain dilihat menghadapi masalah besar untuk menerima tekanan.

"Begitupun ada beberapa perkara positif yang dapat kita lihat daripada aksi ini apabila pemain berjaya memberi tekanan tinggi di kawasan D lawan dan cipta beberapa peluang menerusi pukulan sudut penalti.

"Sebelum ini kita tidak pernah mendapat sebarang pukulan sudut penalti ketika menentang pasukan besar seperti Korea Selatan, China dan Jepun. Ia satu petanda bagus tetapi masih ada ruang yang boleh diperbaiki pemain," katanya.

Enam minit pertama perlawanan cukup mengecewakan apabila skuad Malaysia Tigress memperagakan aksi hambar yang menyaksikan Korea Selatan yang menghuni ranking kelapan dunia mengaut kesempatan.

Cho Hyejin meledak gol padang seawal minit ketiga sebelum Cheon Seul Ki dan Park Miyeon menjadikan kedudukan 3-0 masing-masing menerusi pukulan sudut penalti pada minit keempat dan enam.

Tersentak dengan tiga jaringan awal itu, skuad bimbingan Dhaarma Raj pantas kembali memperkemaskan rentak permainan, hasilnya Wan Norfaiezah Sauiti berjaya merapatkan jurang selepas memanfaatkan peluang dalam kawasan D pada minit ke-23.

Selang tiga minit kemudian, skuad negara meraih gol kedua perlawanan yang terhasil daripada pukulan kilas Nuraini Rashid yang bijak menghidu bola muntah percubaan pukulan sudut penalti kapten Siti Nur Amarina Ruhani.

Bagaimanapun, Baek Eeseul kembali melebarkan kedudukan buat juara Sukan Asia 2014 Incheon itu hasil jaringan padang pada minit ke-32 sebelum Hyejin mencetak gol keduanya untuk melengkapkan kemenangan bergaya Korea Selatan ketika permainan berbaki lapan minit.

Berita Harian X