X
Sabtu, 5 November 2016 | 7:18pm

Mat Zan sasar bawa AirAsia Allstars ke Liga Perdana

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih baharu kelab AirAsia Allstars FC, Mat Zan Mat Aris bertekad membantu kelab yang beraksi dalam saingan Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu layak ke Liga Perdana musim 2018.

Bekas ketua jurulatih Melaka United itu yang mengikat kontrak dua tahun bersama kelab berkenaan berkuat kuasa semalam, berkata sasaran tersebut mampu dicapai sekiranya pemain skuad 'Red Jets' mengekalkan prestasi cemerlang yang dilakar pada musim ini dengan layak sehingga ke separuh akhir Liga FAM.

KETUA jurulatih baharu kelab AirAsia Allstars FC, Mat Zan Mat Aris
KETUA jurulatih baharu kelab AirAsia Allstars FC, Mat Zan Mat Aris

"Sasaran saya membantu pasukan ini naik ke Liga Perdana pada 2018 kerana pasukan ini rata-ratanya dibarisi pemain biasa namun mempunyai semangat juang yang amat tinggi.

"Saya tidak akan mengadakan pemilihan terbuka, namun saya akan memanggil pemain yang mempunyai kriteria yang saya perlukan untuk membantu pasukan ini layak ke Liga Perdana 2018," katanya kepada Bernama, hari ini.

Persatuan Bola Sepak Melaka yang kini dikenali Kelab Bola Sepak Melaka United (MUFC) sebelum ini, mengesahkan pengurusan pasukan itu tidak bercadang mengekalkan khidmat Mat Zan bagi mengharungi Liga Super 2017.

MUFC berpandangan mereka memerlukan jurulatih luar yang berpengalaman luas dalam menghadapi cabaran lebih sengit dalam saingan liga utama bola sepak tanah air itu.

Sebagai rekod, Mat Zan, 58, berjaya membantu MUFC layak ke saingan Liga Perdana 2015 susulan kejayaan pasukan itu menjuarai Piala FAM 2014.

Beliau kemudian membantu pasukan yang sama untuk layak ke Liga Super 2017 selepas muncul juara Liga Perdana musim ini.

Pasukan AirAsia Allstars FC kendalian P Maniam pula menamatkan saingan di peringkat separuh akhir Liga FAM musim ini, selepas kalah agregat 1-2 kepada Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) yang muncul juara. - BERNAMA

Berita Harian X