X
Ahad, 6 November 2016 | 2:03pm

Scholes mahu Mourinho ubah taktikal

PAUL Scholes. - Foto Reuters
PAUL Scholes. - Foto Reuters

MANCHESTER: Paul Scholes mencadangkan kesebelasan utama terbaik untuk skuad terkini Manchester United dan memberitahu Jose Mourinho dia perlu sekurang-kurangnya mencabar empat kelompok terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bekas legenda Red Devils turut mendesak supaya Bastian Schweinsteiger diberi satu lagi peluang selepas pengendali dari Portugal itu menyisihkan bekas arkitek tengah Bayern Munich itu.

Scholes percaya United seharusnya menggunakan formasi 4-3-3 dengan Mourinho sepatutnya tidak mensia-siakan kepantasan Marcus Rashford dan Anthony Martial dalam corak menyerang tiga serangkai.

"(Chris) Smalling dan (Eric) Bailly jelas sekali (pertahanan)," kata Scholes kepada BT Sport. "Luke Shaw apabila dia kembali cergas dia wajar berada dalam pasukan. Antonio (Valencia) sangat bagus di posisi bek kanan."

Malah, Scholes dan seorang lagi pengkritik BT Sport Steve McManaman menganggap Michael Carrick menjadi nadi tengah pasukan dengan Ander Herrera di sayap kanan dan Paul Pogba sayap kiri, di samping percaya Schweinsteiger perlu lebih banyak terbabit dalam pasukan.

"Schweinsteiger pasti boleh menawarkan sesuatu kepada pasukan," kata Scholes. "Dia mempunyai, apa? 130 penampilan untuk Jerman? (Ia) adalah pengalaman mahal untuk pasukan."

Dalam melengkapkan pasukannya, Scholes mengakui Mourinho perlu menyisihkan satu daripada dua penyerang bintangnya.

"Saya memilih Martian dan Rashford kerana kepantasan. Anda perlu menurunkan mereka dan kemudian baru (Zlatan) Ibrahimovic atau (Wayne) Rooney untuk melengkapkan barisan tiga penyerang." - Agensi

Berita Harian X