Ahad, 6 November 2016 | 7:37pm

Golf OKU ada potensi dikembangkan - Genesan

GEORGETOWN: Sukan golf Orang Kelainan Upaya (OKU) ada potensi dikembangkan pada masa depan sekiranya bakat golongan istimewa itu dapat digilap pada peringkat awal.

Presiden Persatuan Golf Orang Kurang Upaya Malaysia, S Genesan, berkata golongan OKU tempatan mempunyai potensi besar menjadi pemain golf terkemuka berdasarkan pengalaman mereka menganjurkan bengkel golf khas sebelum ini.

"Walaupun mereka dilahirkan sebagai OKU, bakat yang ada pada diri golongan ini tidak seharusnya diabaikan malah perlu digilap kerana mereka juga mampu membangunkan sukan negara seperti yang dicapai atlet paralimpik Malaysia baru-baru ini.

"Sekiranya bakat terpendam ini dapat dikesan lebih awal, tidak mustahil akan ada atlet golf OKU mampu mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa selepas ini," katanya selepas program Taklimat dan Tayangan Slaid Golf OKU yang berlangsung di Kompleks Masyarakat Penyayang di sini.

Seramai 80 peserta termasuk wakil daripada Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang, Kelab Orang Pekak Pulau Pinang, Pusat Autism Nasom dan Pusat Pemilihan Dalam Komuniti menyertai program yang bertujuan mengesan bakal sukan dalam kalangan OKU itu.

Genesan berkata, cabaran yang dihadapi pihaknya untuk membangunkan sukan golf OKU tempatan adalah masalah kekurangan tenaga pengajar mahir dalam bidang ini.

"Proses membangunkan sukan golf OKU ini memakan masa kerana pihak kami belum mempunyai tenaga pengajar yang mahir dalam mengasah bakat golongan istimewa berkenaan.

"Kita merancang menghantar mereka yang berminat menjadi jurulatih golf OKU ke luar negara terlebih dahulu bagi mempelajari teknik pengajaran sebelum diberi peluang melatih atlet tempatan," katanya.

Berita Harian X