X
Khamis, 10 November 2016 | 5:59pm

Dakwaan Presiden JHA tak berasas - KHM

KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) sebuah badan induk sukan yang tidak serius dengan skuad Bawah 21 Tahun (B-21) ekoran prestasi mengecewakan di Kejuaraan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC), adalah tidak berasas.

Naib Presiden KHM, Datuk Ow Soon Kooi, berkata kenyataan Presiden Persatuan Hoki Johor (JHA), Datuk Md Jais Sarday yang menyalahkan KHM berikutan prestasi hambar skuad B-21 negara pada kejohanan itu tidak sepatutnya berlaku.

Ow yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan KHM, berkata beberapa pemain B-21 telah diberi peluang menjalani latihan dan menyertai pemain senior di Jepun, New Zealand dan Australia, sebelum ini.

"Pasukan B-21 ini ditubuhkan pada Februari tahun ini. Kebanyakan pemain beraksi pada siri jelajah kejohanan di Brisbane, TNBMHL (Premier dan Divisyen 1) serta Piala Tan Sri Alagendra.

"Skuad ini juga bersaing dalam Liga Hoki Australia. Tiga pemain B-21 turut beraksi dalam Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Md Jais dalam laporan media, berkata badan induk sukan hoki itu tidak memberi perhatian kepada skuad pembangunan B-21 selepas pasukan menamatkan saingan pada SOJC baru-baru ini, di tempat kelima.

"Hanya kerana kita berada di kedudukan kedua terakhir adakah ia bermaksud kita tidak serius? Jadi pada Sukan Olimpik lalu, adakah pasukan yang berada di kedudukan bawahan juga tidak serius?.

"Adakah Presiden JHA tahu apa persiapan yang kami lakukan? Pemain telah bermain bersungguh-sungguh. Tidak ada sesiapa yang mahu kalah dan kita harus sedar pemain telah memberi komitmen sepenuhnya," katanya.

Ow turut mempersoalkan Md Rais yang tidak pernah menghadiri mesyuarat KHM sejak mengambil alih kepimpinan JHA. - BERNAMA

Berita Harian X