Jumaat, 25 November 2016 | 12:56am

Jenson Button beri bayangan bersara daripada F1

PEMANDU McLaren, Jenson Button. - Foto AFP
PEMANDU McLaren, Jenson Button. - Foto AFP

ABU DHABI: Jenson Button memberi bayangan perlumbaan Grand Prix (GP) Abu Dhabi sebagai perlumbaan terakhir buat dirinya dalam Formula Satu (F1) meskipun mempunyai pilihan untuk kembali beraksi pada tahun 2018.

Pemandu dari Britain dan juga veteran 17 tahun dalam sukan itu, mengumumkan mahu berehat pada awal musim ini namun masih mempunyai kontrak dua tahun bersama McLaren selain pada ketika itu menekankan yang dirinya bukan bersara.

Ikatan kontrak bersama McLaren itu membolehkan pasukan dari Woking memiliki pilihan bagi menyenaraikan namanya semula dalam tempoh dua tahun ini dan sama ada memilih Stoffel Vandoorne ataupun Fernando Alonso untuk meninggalkan pasukan namun Button pada ketika ini menegaskan yang dia tidak mahu kembali selepas perlumbaan hujung minggu ini.

"Saya akan memasuki hujung minggu ini dengan memikirkan ia menjadi perlumbaan terakhir saya," katanya ketika sidang media.

"Saya fikir, itu adalah yang terbaik. Pada masa ini, saya tidak mahu berlumba dalam Formula Satu selepas perlumbaan ini. Saya memikirkannya sebagai perlumbaan terakhir saya."

Button pernah diyakinkan untuk tidak bersara daripada F1 oleh bekas ketua McLaren Ron Dennis dan pada awalnya menegaskan yang dia mahu berlatih lebih gigih bagi berada di grid perlumbaan semula.

Namun ketika ditanya sama ada McLaren bakal melaksanakan pilihan 2018 ke atas dirinya sekiranya kembali beraksi, Button berkata: "Tidak semestinya.

"Saya tidak beraksi tahun depan kerana saya tidak mahu berlumba tahun depan," kata Button. "Ada perkara lain yang saya mahu lakukan.

"Tetapi idea itu timbul selepas saya mempunyai kontrak pada 2018, jadi sekiranya saya memasuki pertengahan tahun depan dan saya sudah bosan, maka saya akan berlumba semula, ...saya boleh melakukannya.

"Apapun, ia sentiasa menjadi idea yang ini adalah grand prix terakhir saya. Mungkin ia tidak akan menjadi kenyataan tetapi saya akan memikirkannya sebegitu." - Agensi

Berita Harian X