Jumaat, 2 Disember 2016 | 8:16pm

F4 SEA kembali ke Sepang minggu depan

PELUMBA Formula 4, Isyraf Danish. - Foto http://instaliga.com/
PELUMBA Formula 4, Isyraf Danish. - Foto http://instaliga.com/

KUALA LUMPUR: Kejuaraan Formula 4 (F4) Asia Tenggara (SEA) kembali menggegarkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan enam lagi perlumbaan dipertandingkan pada acara itu, yang berlangsung dari 8 hingga 10 Disember ini.

Perlumbaan di Sepang itu adalah yang keempat dalam kejuaraan yang julung kali diperkenalkan di rantau Asia Tenggara, selepas di SIC pada Ogos, diikuti di Clark International Speedway, Filipina, dan Litar Antarabangsa Sentul di Indonesia bulan lalu.

Kejuaraan itu yang membabitkan enam pusingan bertujuan mencungkil dan mengasah bakat pelumba muda sukan permotoran di Asia.

Harapan tinggi diletakkan di bahu pelumba Malaysia pada perlumbaan kali ini, termasuk kepada Isyraf Danish, 15, yang mengharapkan kelebihan berlumba di tempat sendiri bagi mengekalkan konsistensi serta menggandakan kemenangan podium selepas menduduki tiga tempat teratas pada perlumbaan di Indonesia.

Eric Louis dan Chia Wing Hoong turut membawa cabaran Malaysia pada kejuaraan itu, yang dianjurkan Asian Autosport Action Group (AAA), dengan Chia juga meraih kemenangan podium pertama di Pusingan 3 sebelum ini.

Pengerusi AAA, Peter Thompson, berkata litar sepanjang 5.54 kilometer itu adalah trek yang mencabar dan digemari dalam kalangan pelumba pelbagai kategori.

"SIC yang mempunyai 15 selekoh, memang terkenal dengan selekoh yang tajam dan mencabar serta dua laluan pecut yang lurus," katanya.

Perlumbaan F4 SEA yang mendapat kelulusan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) adalah antara 12 kejuaraan F4 di seluruh dunia, iaitu langkah pertama FIA dalam pembangunan pelumba muda profesional dalam sukan permotoran. - BERNAMA

Berita Harian X