Selasa, 6 Disember 2016 | 12:56pm

PBNP sah tamatkan kontrak Razip

KONTRAK Razip bersama tidak disambung pada musim depan. - Foto Zulkepli Osman
KONTRAK Razip bersama tidak disambung pada musim depan. - Foto Zulkepli Osman

KUANTAN: Razip Ismail mengesahkan kontraknya bersama Pahang tidak disambung sekali gus menamatkan teka-teki pengendali baharu akan membimbing skuad itu musim depan. 

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, setakat ini, beliau belum memikirkan hala tuju kerjayanya dalam bidang kejurulatihan biarpun ada mendapat tawaran daripada beberapa pasukan dan kelab. 

Katanya, segalanya masih lagi baharu dan sepanjang bulan ini beliau akan menimbang tawaran sama ada melatih pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.   

"Namun, sebagai jurulatih Pahang musim ini, saya gembira kerana dapat mengekalkan skuad ini beraksi dalam saingan Liga Super musim depan. 

"Bagi saya yang mengambil alih tanggungjawab pada Mac lalu sudah memenuhi Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Negeri Phang (PBNP)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Razip mengambil alih tugas sebagai pengendali Pahang Mac lalu selepas Ahmad Shaharuddin Rosdi meletak jawatan berikutan prestasi hambar pasukan pada awal musim.

Pahang menduduki tangga ke-10 dalam saingan liga musim ini, sekali gus kekal bersaing untuk musim 2017.Razip yang pernah menyarung jersi Kuala Lumpur berterima kasih kepada pengurusan PBNP yang memberi kepercayaan untuk melatih Pahang musim ini.

"Terima kasih juga kepada Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah selaku Presiden PBNP, pengurusan, barisan kejurulatihan serta pemain untuk memastikan skuad ini kekal dalam Liga Super dan mendoakan Pahang meraih kejayaan bermakna musim 2017," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBNP, Fuzzemi Ibrahim mengesahkan khidmat Razip tidak disambung musim depan.

"Razip kini bebas untuk melatih pasukan lain dan PBNP mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada beliau," katanya.

Berita Harian X