Khamis, 8 Disember 2016 | 11:34am

Shahrol Yuzy mahu Zaqhwan teliti pilih haluan

BEKAS pelumba MotoGP negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini (kanan) dan anak didiknya, Md Zaqhwan Zaidi.
BEKAS pelumba MotoGP negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini (kanan) dan anak didiknya, Md Zaqhwan Zaidi.

KUALA LUMPUR: Bekas pelumba MotoGP negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini percaya 'harga' anak didiknya, Md Zaqhwan Zaidi kian meningkat susulan kejayaan memenangi gelaran Asia buat kali kedua, minggu lalu selain yakin pelumba muda itu sudah semakin matang.

Yuzy berkata, dia berharap Zaqhwan, 22 sudah belajar daripada kesilapan apabila menyertai perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dalam kelas Moto2 tahun lalu secara mengejut sebelum menarik diri di pertengahan saingan.

Selepas menjuarai gelaran sama pada 2014, Zaqhwan pantas dilamar pasukan tempatan yang beraksi dalam kelas Moto2, JPMoto untuk beraksi di MotoGP namun tindakan itu dilihat hanya memakan diri.

"Bagi saya, Zaqhwan akan terus bermain di perlumbaan tempatan, Cub Prix dan ARRC bagi tahun depan dan fokus untuk mencatat keputusan lebih baik serta memperbaiki kekurangan," Kata Yuzy yang pernah bersaing di perlumbaan MotoGP.

"Tidak bermakna selepas kita menang sesuatu kejuaraan seperti ARRC pelumba itu perlu terus melangkah ke perlumbaan lain dan sebagainya.

"Jika mereka tidak mendapat sokongan yang betul, saya pasti situasi yang sama seperti sebelum ini berkemungkinan besar berulang. Ia bukan saja membabitkan wang ringgit namun pelbagai segi.

"Masih banyak yang perlu dipelajarinya malah mungkin dia masih memerlukan masa beberapa tahun sebelum bersedia pergi ke peringkat seterusnya," katanya.

Zaqhwan Zaidi dinobatkan selaku juara keseluruhan dalam kelas perdana, SuperSports 600cc pada perlumbaan pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) berakhir di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, minggu lalu.

Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu mengesahkan gelaran juara keseluruhan dengan mengumpul 162 mata, empat mata mengatasi Tomoyoshi Koyama (T. Pro Yuzy Honda NTS With WOW) di kedudukan kedua dengan 158 mata manakala seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman (BikeART Racing Kawasaki ) di kedudukan ketiga dengan 142 mata.

Sekali pun menamatkan perlumbaan terakhir di tempat ketujuh, ia sudah mencukupi buat Zaqhwan selepas Koyama terpaksa menarik diri akibat kerosakan jentera.

Sepanjang enam pusingan dan 12 perlumbaan, Zaqhwan berjaya menaiki empat podium termasuk satu kemenangan di Litar Buriram pada pusingan kedua perlumbaan pada Mei lalu.

Mengulas kemenangan Zaqhwan di Buriram, Yuzy berkata perasaannya bercampur baur kerana Koyama adalah pelumba pasukannya.

"Saya tidak boleh nak gambarkan perasaan saya sebenarnya. Sedih pun ada, gembira pun ada kerana apa yang berlaku kepada Koyama memberi tuah kepada Zaqhwan. "Apapun, saya anggap ini adalah rezeki buat Zaqhwan atas usahanya selama ini," katanya.

Berita Harian X