Ahad, 11 Disember 2016 | 3:04pm

Pembinaan stadium utama Olimpik Tokyo 2020 bermula

Sebuah tapak pembinaan untuk Stadium Nasional yang baharu di Tokyo, Jepun yang dijadualkan siap pada akhir November 2019. - Foto EPA
Sebuah tapak pembinaan untuk Stadium Nasional yang baharu di Tokyo, Jepun yang dijadualkan siap pada akhir November 2019. - Foto EPA

TOKYO: Bandaraya Tokyo mengadakan majlis pecah tanah semalam bagi pembinaan Stadium Nasional yang membabitkan kos sebanyak AS$1.5 bilion (RM6.64 bilion) untuk kegunaan temasya Sukan Olimpik 2020.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe bersama Gabenor Tokyo, Yuriko Koike dan kenamaan lain merasmikan majlis pecah tanah di tapak sama Stadium Nasional lama dibina yang digunakan ketika Olimpik 1964 Tokyo, dengan meletakkan tangan di permukaan gelas menyerupai logo Olimpik.

Majlis itu berakhir dengan tayangan video dan paparan grafik menunjukkan bagaimana stadium itu akan kelihatan dan berfungsi sepenuhnya menjelang November 2019.

Kerja pembinaan stadium di tengah bandaraya ini bagaimanapun terbelakang daripada jadual berikutan kerajaan membatalkan rekaan asal yang dikatakan memakan kos besar selain aduan mengenai saiz dan penampilannya.

Gabenor wanita pertama Tokyo, Koike yang mengambil alih pejabat pada Julai lalu, berikrar menggunakan kuasanya dalam menghasilkan penganjuran Olimpik 2020 dengan penggunaan kos cekap dan mesra alam.

Dia mengkritik penganjur temasya 2020 itu kerana gagal mengawal perbelanjaan.

Pakar panel yang dilantik meletakkan perbelanjaan temasya 2020 adalah AS$30 bilion (RM132.78 bilion), menyebabkan langkah mengurangkan perbelanjaan dilakukan, lebih daripada empat kali ganda daripada jumlah asal ketika bandaraya itu diberikan hak penganjuran pada tahun 2013.

Sebilangan penduduk mahu stadium lama, yang dibina pada 1950-an dikekalkan dan hanya dilakukan ubah suai. Namun kerajaan memilih menggantikannya dengan kemudahan stadium lebih moden. - AP

Berita Harian X