Ahad, 18 Disember 2016 | 9:41am

Leipzig ketepi Bayern terajui takhta Bundesliga

PEMAIN Leipzig, Diego Demme (tengah) bersaing dengan dua pemain Berlin, Vedad Ibisevic (kanan) dan Allan (kiri) dalam aksi Bundesliga di Red Bull Arena, Leipzig, Jerman. - Foto EPA
PEMAIN Leipzig, Diego Demme (tengah) bersaing dengan dua pemain Berlin, Vedad Ibisevic (kanan) dan Allan (kiri) dalam aksi Bundesliga di Red Bull Arena, Leipzig, Jerman. - Foto EPA

LEIPZIG, Jerman: Kelab RB Leipzig merampas kedudukan tangga teratas Bundesliga daripada Bayern Munich - pasukan yang bakal mereka temui lima hari lagi - selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas Hertha Berlin, di sini, malam tadi.

Dengan Bayern hanya akan turun beraksi malam ini berdepan Darmstadt, Leipzig memanfaatkan peluang bagi menerajui takhta liga hasil kemenangan meyakinkan di Red Bull Arena.

Leipzig yang menerajui liga untuk tempoh tiga minggu sebelum Sabtu lalu kini kelebihan tiga mata di tangga teratas.

Bagaimanapun, Bayern yang dibimbing Carlo Ancelotti berpeluang merampas kembali kedudukan teratas jika menang ke atas Darmstadt, selain mempunyai kelebihan perbezaan jaringan menjelang pertembungan dengan Leipzig di Allianz Arena, Khamis ini.

Gol daripada Timo Werner pada minit ke-40 dan Willi Orban (60) sudah cukup bagi menjamin kemenangan buat Leipzig.

Kemenangan itu meletakkan Leipzig kembali di landasan sebenar selepas tewas mengejut 0-1 di tangan Ingolstadt yang menyaksikan rekod tanpa kalah mereka dalam 13 perlawanan berakhir - rekod baharu buat pasukan untuk awal saingan Bundesliga musim ini.

"Saya beritahu pemain yang saya mahukan mereka memberi reaksi selepas kekalahan kepada Ingolstadt dan mereka tidak mengecewakan.

"Kami menunjukkan apa yang kami mahukan sejak babak pertama lagi," kata jurulatih Leipzig, Ralph Hasenhuettl.

Bagi jurulatih Berlin pula, Pa Dardai yang menyaksikan anak buahnya menghuni tangga keempat, berkata: "Leipzig sedikit pantas berbanding kami". - AFP

Berita Harian X