Rabu, 4 Januari 2017 | 1:12pm

Jurulatih tagih simpati agar trek olahraga dibaiki

Khairul Hafiz Jantan (kiri) bersama Jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim (tengah) dan Badrul Hisyam pernah berlatih di trek olahraga di Kompleks Sukan Ranau, Sabah. -Foto Osman Adnan
Khairul Hafiz Jantan (kiri) bersama Jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim (tengah) dan Badrul Hisyam pernah berlatih di trek olahraga di Kompleks Sukan Ranau, Sabah. -Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Jurulatih Olahraga Sabah, Dzul Fikar Awang Anak memohon pihak bertanggungjawab menaik taraf trek olahraga di Kompleks Sukan Ranau, Sabah agar atlet dapat menjalani latihan dengan lebih baik.

Katanya, trek yang mula dibina kira-kira 11 tahun lalu dan disiapkan pada 2010 sudah mulai haus serta berlubang sekali gus sedikit merencatkan proses latihan yang berlangsung di kompleks berkenaan.

"Saya memohon pihak tertentu agar menaik taraf trek olahraga berkenaan memandangkan ada beberapa lubang yang perlu ditampal selain getah trek sudah mulai nipis serta haus.

"Saya khuatir ia akan mendatangkan masalah kepada atlet dan jurulatih terutama bagi acara jarak jauh. Sudah masanya untuk dibaiki bagi membolehkan penggunaan secara maksimum kerana trek itu mempunyai lokasi yang strategik, antaranya jauh dari bandar serta mempunyai altitud tinggi," katanya kepada BH Sukan.

Difahamkan, selain Dzul Fikar, jurulatih serta atlet yang berlatih di situ turut berharap agar trek itu di naik taraf sekali gus dapat meningkatkan kualiti sukan olahraga negeri berkenaan.

Untuk rekod, trek olahraga yang terletak di Kampung Lohan Ulu, Ranau, Sabah itu adalah di bawah kendalian Kementerian Belia dan Sukan serta Lembaga Sukan Negeri Sabah.

Pada 21 hingga 29 Disember lalu, empat atlet pecut negara iaitu Khairul Hafiz Jantan, Badrul Hisyam Abdul Manap, Muhammad Azam Masri dan Muhammad Haikal Hanafi bersama jurulatih mereka, Mohd Poad Md Kassim berpeluang menjalani latihan di trek berkenaan.

Sementara itu, Mohd Poad yang mengendalikan Program Latihan Bersama Atlet Pecut Negara dan Klinik Acara Pecutan di kompleks sukan berkenaan turut memohon agar trek itu dibaik pulih segera agar atlet Sabah boleh berlatih dengan lebih sempurna.

"Selain itu, jika ia sudah OK saya rasa trek berkenaan boleh digunakan atlet kebangsaan untuk menjalani latihan bagi persiapan ke Sukan SEA, Ogos nanti.

"Apapun sepanjang sembilan hari di sana, saya amat berpuas hati dengan proses latihan dan ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Persatuan Olahraga Negeri Sabah (SAA), Majlis Sukan Negeri Sabah serta Institut Sukan Negeri Sabah dan orang perseorangan yang menaja kami ke sana," katanya.

Berita Harian X