Rabu, 4 Januari 2017 | 4:35pm

Hakimi tekad pertahan emas Sukan SEA, pecah rekod peribadi

GAMBAR fail, atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail ketika menjalani latihan di padang MSN Bukit Jalil. - Foto NSTP/Hasriyasyah Sabudin
GAMBAR fail, atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail ketika menjalani latihan di padang MSN Bukit Jalil. - Foto NSTP/Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Jaguh lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail mahu membuka lembaran 2017 dengan kejayaan lebih cemerlang, termasuk memecahkan rekod peribadinya, 16.76 meter (m) yang dicipta di Sukan SEA Singapura 2015.

Atlet berusia 26 tahun itu juga bertekad meraih pingat di Kejohanan Olahraga Asia, di Ranchi, India (1-4 Julai), mara ke pusingan akhir Kejohanan Dunia Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) London (4-13 Ogos) serta pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

"Alhamdulillah di Sukan SEA Singapura, saya berjaya meraih pingat emas lompat kijang lelaki dengan lompatan 16.76m, iaitu pencapaian terbaik saya.

"Tahun ini, saya mahu mencapai sesuatu yang lebih bagus. Saya akan cuba membawa pulang pingat di Kejohanan Olahraga Asia, mara ke final Kejohanan Dunia dan sudah tentu mahu mengekalkan pingat emas di Sukan SEA, Kuala Lumpur kelak.

"Tekanan tetap ada, namun saya akan gunakan tekanan itu untuk tingkatkan prestasi dan pastikan lompatan saya lebih jauh," katanya kepada BH Sukan.

Mengenai kecederaan lama di buku lali kiri yang dialami ketika Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia tahun lalu, Muhammad Hakimi menjelaskan dia enggan terlalu memikirkan perkara itu.

"Ketika ini saya hanya berlatih melompat di permukaan yang lembut kerana masih dalam proses pemulihan. Kadang kala kecederaan itu masih terasa, namun saya tidak mahu terlalu memikirkannya," katanya.

Untuk rekod, di Sukan SEA Singapura, Muhammad Hakimi bukan saja meraih emas, malah turut memecah rekod kebangsaan, selain mencipta rekod baharu Sukan SEA yang dipegang Nguyen Van Hung dari Vietnam (16.67m).

Kongnil Varunyoo dari Thailand muncul pemenang perak (16.20m) manakala Van Hung hanya berpuashati meraih gangsa dengan 15.92m.

ends

Berita Harian X