Ahad, 8 Januari 2017 | 2:22pm

TMJ mahu Farkhan berlatih di Mexico

JOHOR BAHRU: Peninju profesional negara, Muhammad Farkhan Haron akan menjalani latihan di Mexico bersama bekas juara dunia, Erik Morales dalam tempoh terdekat bagi membolehkan beliau fokus mengejar kejuaraan dunia.

Beliau berkata, mengikut perancangan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu urusan ke Mexico itu dipercepatkan selepas Farkhan berdepan masalah mendapatkan visa untuk berlatih di Amerika Syarikat;

"Saya mungkin akan berlatih bersama Morales di Mexico dan ia satu penghormatan kerana beliau adalah bekas juara dunia, pernah menewaskan peninju profesional dari Filipina Manny Pacquiao, selain muncul juara dunia tujuh kali dalam tujuh kategori berat badan berbeza.

"Buat masa ini, saya akan berehat dan mengekalkan berat badan 79 kilogram (kg) ini selama setahun sebelum menurunkan berat ke paras lebih ideal iaitu 76.5kg," katanya.

Beliau berkata demikian selepas memenangi tali pinggang Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia kategori Light Heavyweight pada Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor (JIBC) 2017 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, malam tadi.

TUNKU Ismail (dua dari kiri) meraikan kemenangan Muhammad Farkhan yang menewaskan Sheikh Kaseba dengan pukulan TKO pada Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor 2017 di Johor Bahru, malam tadi. - Foto Hairul Anuar Rahim
TUNKU Ismail (dua dari kiri) meraikan kemenangan Muhammad Farkhan yang menewaskan Sheikh Kaseba dengan pukulan TKO pada Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor 2017 di Johor Bahru, malam tadi. - Foto Hairul Anuar Rahim

Muhammad Farkhan berkata, beliau bangga kerana sekali lagi mencatat sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi dua kejuaraan Asia dalam dua kategori berbeza iaitu Cruiserweight (90kg) dan Light Heavyweight (79kg).

"Saya amat letih kerana terpaksa menurunkan berat badan sebanyak 20kg hanya dalam tempoh sebulan, tetapi hendak tidak hendak, saya perlu berusaha dan apabila berada dalam gelanggang, saya terus melepaskan tumbukan terhadap lawan sehingga berjaya dalam pertarungan ini," katanya selepas menewaskan peninju Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Kaseba dengan pukulan TKO.

Beliau menewaskan Kaseba dengan pukulan TKO selepas dua minit pertarungan di pusingan keempat, sekali gus mempertahankan maruah sebagai penganjur dan tuan rumah untuk kejohanan itu.

Pada sesi pengumuman pemenang, Tunku Mahkota Johor berkenan berangkat ke gelanggang untuk bersama-sama meraikan kejayaan itu, seterusnya menyampaikan tali pinggang juara kepada Muhammad Farkhan.

Berita Harian X