Sabtu, 21 Januari 2017 | 5:55pm

Biar menteri umum stadium ragbi - KRM

MOHD Mazuri (kanan) bersama Jurulatih Pasukan Ragbi Negara, Lee Nyuk Fah pada sidang media berkaitan Liga Ragbi Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA
MOHD Mazuri (kanan) bersama Jurulatih Pasukan Ragbi Negara, Lee Nyuk Fah pada sidang media berkaitan Liga Ragbi Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) menyerahkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, untuk mengumumkan lokasi stadium ragbi yang akan digunakan pasukan kebangsaan selepas ini.

Pengurus Besar KRM, Mohd Mazuri Sallehudin, berkata setakat ini ada dua kawasan pilihan di Lembah Klang yang dikenal pasti sebagai lokasi pembinaan stadium, namun pihaknya akan memberi penghormatan kepada Khairy untuk mengumumkannya.

"Kita mengalu-alukan usaha beliau untuk membantu ragbi dan setakat ini ada dua lokasi yang dikenal pasti, biar menteri sendiri yang dedahkan (umumkan) perkara ini," katanya pada sidang media sempena Kejohanan Liga Ragbi Malaysia (MRL) 2017 di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (OCM), di sini, hari ini.

Katanya, KRM hanya menyediakan sokongan teknikal serta idea bagaimana reka bentuk stadium yang mereka mahukan termasuk kelengkapan asas dengan menjadikan Stadium Borneo Eagles di Sandakan, Sabah sebagai model.

Manakala urusan pemilihan tapak projek diuruskan sepenuhnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Mohd Mazuri berkata, KRM tidak mengharapkan projek pembinaan sebuah stadium ragbi dengan kapasiti 80,000 penonton seperti di Barcelona, kerana apa yang lebih penting ialah sambutan peminat serta memiliki segala kemudahan asas yang diperlukan.

"Kita kena realistik. Tak guna kita hendak buat siaran langsung jika tiada penonton di stadium," katanya.

Baru-baru ini, Khairy memaklumkan dua kawasan di Lembah Klang dikenal pasti sebagai lokasi pembinaan stadium ragbi kekal bagi memastikan pemain negara mempunyai tempat latihan yang khusus sebelum menghadapi sesuatu kejohanan.

Kerja pembinaan stadium ragbi itu dijangka bermula tahun ini atau tahun depan, bergantung kepada proses mendapatkan tapak dan KBS akan melakukan perbincangan bersama KRM sebelum membuat pengumuman mengenainya.

Sebelum ini KBS bercadang membina sebuah stadium ragbi bagi menghargai kejayaan Malaysia menjuarai Kejohanan Ragbi Asia (ARC) Divisyen Satu di Bukit Kiara, tahun lalu. Latihan skuad negara ketika ini adalah di Padang Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dan Padang Kelab Cobra di Petaling Jaya.

Mengulas mengenai MRL musim 2017, Pengarah Kejohanan KRM, Fahmy Jalil mengesahkan kejohanan yang dijadualkan berlangsung pada 4 Februari sehingga 1 April itu akan disertai 35 pasukan kelab tempatan.

"Empat kategori akan dipertandingkan serentak di seluruh negara iaitu Liga Perdana Ragbi (MRP), Ragbi Divisyen Satu, Ragbi Divisyen Dua dan Piala Kejohanan Ragbi Timur.

Berita Harian X