Rabu, 1 Februari 2017 | 11:57am

Pertemuan Kelantan-JDT ditunda

SETIAUSAHA Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
SETIAUSAHA Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Pertembungan Kelantan dan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dijadualkan Sabtu ini, ditunda bagi memberi laluan kepada JDT untuk memberi tumpuan kepada kempen pusingan ketiga Kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengesahkan pertemuan itu ditunda ke tarikh yang belum ditetapkan.

Setiausaha KAFA, Datuk Ismail Md Noor, berkata JDT dijadual berdepan pasukan Gamba United di Stadium Suita City Football, Osaka, Jepun, pada Selasa depan bagi kempen ACL.

Katanya, KAFA akur dengan keputusan yang dimaklumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu berikutan tempoh agak singkat bagi JDT mempersiapkan pasukan selepas pertemuan dengan TRW.

"Ini kali kedua penundaan perlawanan membabitkan Kelantan dalam saingan Liga Super. Kali pertama dengan Melaka United dan kedua, JDT, namun keputusan FAM berdasarkan kebaikan untuk kedua-dua pasukan.

"Kita harap dengan pengumuman ini, peminat tetap memberi sokongan kepada The Red Warriors (TRW) walaupun sedikit kecewa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 20 Januari lalu, aksi pertama Liga Super membabitkan Kelantan dan Melaka United di Stadium Sultan Muhammad Ke IV ditunda kepada 21 Februari berikutan hujan lebat dan padang ditakungi air.

Berita Harian X