Khamis, 2 Februari 2017 | 7:43am

Suarez, Messi ledak bekalan selesa untuk Barca

 LIONEL Messi (tengah), mengasak bola daripada pemain Atletico de Madrid, Gabriel Fernandez (kiri), ketika separuh akhir Liga Sepanyol pada masa pertama antara perlawanan Atletico de Madrid menentang FC Barcelona di stadium Vicente Calderon, Madrid, Spain. - Foto AP

MADRID: Gol Luis Suarez dan Lionel Messi membantu Barcelona mengatasi Atletico Madrid 2-1 pada separuh akhir pertama Copa del Rey pagi tadi, sekali gus membawa kelebihan untuk aksi pusingan kedua di Nou Camp minggu depan.

Jaringan solo Suarez dan rembatan kemas Messi meletakkan gergasi Catalan itu selesa mendahului separuh masa pertama 2-0.

Namun, Atletico bangkit lebih garang selepas rehat apabila Antoine Griezmann kembali merapatkan kedudukan dan tuan rumah hampir mengikat aksi di hujung permainan dengan memaksa Barca bertahan di kubu sendiri.

Bagaimanapun, permainan 'lambat panas' anak buah Diego Simeone ternyata merugikan diri sendiri dengan Barca kini muncul pilihan untuk mara ke pentas akhir menjelang aksi timbal balik kedua pada 7 Februari ini.

PEMAIN Barcelona FC, Luis Suarez (kiri) mendapatkan bola daripada pemain Atletico de Madrid, Filipe Luis ketika separuh akhir Liga Sepanyol. - Foto AP
PEMAIN Barcelona FC, Luis Suarez (kiri) mendapatkan bola daripada pemain Atletico de Madrid, Filipe Luis ketika separuh akhir Liga Sepanyol. - Foto AP

Kedua-dua pasukan saling bertukar kemenangan dalam empat perlawanan timbal balik sebelum ini sejak tiga musim lalu.

Suarez hanya memerlukan tujuh minit untuk membuka tirai jaringan - gol ketujuhnya dalam sembilan penampilan ketika bertemu Atletico.

Penyerang Uruguay itu membuat gerakan solo separuh padang, meninggalkan pertahanan Diego Godin dan Stefan Savic, sebelum menyumbat bola ke penjuru gawang Atletico.

Suarez sepatutnya menjaringkan gol kedua hasil hantaran Neymar, tetapi bekas penyerang Liverpool itu tidak melakukan percubaan, sebaliknya memilih menghantar semula bola kepada bintang Brazil itu yang gagal mengawalnya.

Messi pula berperanan di sebalik setiap gerakan menyerang Barca dan bintang Argentina ini melengkapkan persembahan bergaya dengan penyudah jarak jauh 12 minit sebelum berakhir babak pertama. - AFP

Berita Harian X